Calvert-Lewin senjata ampuh Everton

Calvert-Lewin
Calvert-Lewin
A
A
A

DOMINIC Calvert-Lewin disifatkan sebagai senjata ampuh Everton dalam misi kelab Merseyside itu mengelak penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Itu pandangan pengendali Everton, Sean Dyche selepas penyerang itu kembali ke senarai penjaring ketika The Toffees seri 2-2 menentang Leicester City di Stadium King Power.

Calvert-Lewin yang dilanda kecederaan menjaringkan penalti untuk meletakkan Everton di hadapan, gol pertamanya sejak Oktober.

Bagaimanapun Calvert-Lewin juga mensia-siakan deretan peluang sebelum separuh masa pertama, namun Dyche gembira apabila pemain tersebut kembali ke penampilan walaupun keputusan seri itu tidak sedikit pun mengurangkan kebimbangan Everton untuk tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

"Ya, Dom (Calvert-Lewin) terlepas satu peluang menjaringkan gol, namun kelihatan lebih tajam serta pantas dan akan menjadi senjata sebenar untuk kami.

"Kecergasan sebenarnya telah kembali, dia kelihatan kuat dan berwaspada," kata Dyche yang menggantikan Frank Lampard yang dipecat pada akhir Januari.

Everton, kelab yang memiliki sentuhan penyudah kurang menyerlah di Liga Perdana Inggeris, kelihatan jauh lebih kuat daripada biasa tetapi perlawanan liga ke-13 di tempat lawan tanpa kemenangan itu menyaksikan The Toffees berada di kedudukan kedua dari bawah dengan berbaki empat perlawanan.

Biarpun begitu Dyche, bekas pengendali Burnley menegaskan dia tahu situasi yang di hadapi kelab dan bersedia untuk perlawanan di laman The Foxes.

“Kami menjelmakan sepenuhnya keberanian, terus mencuba mencipta sesuatu dan secara keseluruhan ia adalah persembahan yang baik, walaupun kami tidak memperoleh tiga mata yang disasarkan.

"Saya tidak datang ke sini untuk berjalan-jalan di taman, saya tahu ia akan menjadi satu cabaran dan kami berada pada satu ke satu perlawanan.

"Satu-satunya kesilapan malam ini ialah dua gol yang sangat mudah, namun pemain menjelmakan mentaliti yang kami mahukan daripada pasukan," katanya.

Sementara itu, Dyche hampir pasti akan beraksi tanpa pemain berpengalaman Seamus Coleman untuk empat perlawanan terakhir selepas tonggak pertahanan tersebut diusung keluar sebelum rehat.

"Ia benar-benar malang. Kami menunggu berita, ia mungkin serius, kecederaan lutut," ujarnya.