Sabah terus catat kes tertinggi

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kes baharu positif koronavirus (Covid-19) di negara ini dalam tempoh 24 jam kekal dua angka namun meningkat kepada 52 kes, dengan 36 daripadanya di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 10,219 kes dengan angka kematian kekal 130 orang, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 734 kes.

"Kes baharu tersebut melibatkan 40 penularan tempatan dan 12 kes import," katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa wabak Covid-19 hari ini.

Bagi kes penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, ia melibatkan 26 warganegara Malaysia dan 14 bukan warganegara, manakala kes import membabitkan tiga warganegara dan sembilan warga asing.

“Kes di Sabah melibatkan 27 kes daripada Kluster Benteng LD iaitu 15 warganegara dan 12 warga asing dan dua kes Kluster Selamat melibatkan dua warganegara.

“Dua lagi adalah kes saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu melibatkan warganegara, manakala masing-masing satu kes membabitkan warganegara iaitu Kluster Pulau, Kluster Bakau dan kes saringan komuniti Semporna," katanya.

Beliau berkata, kes membabitkan warga asing pula ialah satu kes saringan prapembedahan di Hospital Lahad Datu dan satu kes saringan sebelum masuk kerja.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat tiga kes saringan komuniti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran iaitu Kota Setar, Kedah dan satu di Pulau Pinang yang kedua-duanya melibatkan warganegara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 12 kes import melibatkan tiga warganegara dan sembilan bukan warganegara yang pulang dari India dengan lapan kes dan masing-masing termasuk tiga dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor selain dua di Labuan.

Katanya, kes import lain adalah dari Bangladesh, Yaman dan Rusia yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Indonesia yang dilaporkan di Selangor, masing-masing satu kes.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat 40 kes pulih dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya sebanyak 9,355 kes atau 91.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 10 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. - Bernama