Minta kelonggaran diberi kepada peniaga kecil

Puteri Holijah (tengah) menyerahkan bubur asyura kepada pengunjung Pasar Malam Bercham Raya sambil diperhatikan Jaafar Program Pengedaran Bubur Asyura di Pasar Malam Bercham Raya semalam.
Puteri Holijah (tengah) menyerahkan bubur asyura kepada pengunjung Pasar Malam Bercham Raya sambil diperhatikan Jaafar Program Pengedaran Bubur Asyura di Pasar Malam Bercham Raya semalam.
A
A
A

IPOH - Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu dan Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta mengharapkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberikan kelonggaran kepada peniaga kecil di bandar raya ini untuk menjalankan perniagaan.

Pengerusinya, Jaafar Uthman berkata, terdapat beberapa peniaga kecil yang tidak dapat meneruskan perniagaan di pasar-pasar malam disebabkan kawasan yang terhad kerana prosedur operasi standard (SOP) penjarakkan ditetapkan.

Beliau berkata, disebabkan keadaan itu, peniaga-peniaga yang tiada tempat terpaksa berniaga di kawasan lain seperti di tepi jalan dan kawasan-kawasan lain di luar tapak pasar malam.

"Seperti di Pasar Malam Bercham Raya ini, kira-kira 50 peniaga tak dapat tapak kerana kawasan yang terhad selepas dibuat penjarakkan di antara peniaga-peniaga.

"Jadi mereka ini terpaksa mencari alternatif lain seperti berniaga di tepi-tepi jalan untuk memastikan mereka terus memperoleh pendapatan bagi menyara keluarga," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Pengedaran Bubur Asyura di Pasar Malam Bercham Raya, di sini semalam.

Hadir sama pada program tersebut, Ahli Majlis MBI, Puteri Holijah Muhamad Rali.

Menurutnya, pihak persatuan juga berharap agar MBI tidak mengenakan tindakan tegas kepada peniaga-peniaga kecil yang tidak mendapat tempat ini sebaliknya menggunakan budi bicara dalam menguatkuasakan undang-undang.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga kecil ini masih belum pulih sepenuhnya selepas mereka terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun kita tetap bersyukur dan berterima kepada kerajaan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara kerana memberi kebenaran untuk pasar-pasar malam ini dibuka sekaligus membolehkan peniaga-peniaga kecil kembali mencari rezeki.

"Cuma kita harap semua peniaga dan pengunjung pasar malam terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar wabak ini dapat dikawal dan tidak lagi menular di negara ini," katanya.

Sementara itu, Puteri Holijah yang ditemui selepas program berkenaan berkata, pihak MBI telah memberikan kelonggaran kepada peniaga untuk mendapatkan lesen sementara daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Katanya, semua peniaga boleh memohon lesen sementara tersebut berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh MBI.

"Saya juga telah mencadangkan kepada MBI untuk mencari rumah-rumah kedai yang kosong dan terbiar bagi menempatkan peniaga-peniaga di tepi jalan untuk menjual produk mereka.

"Pihak MBI sebenarnya memahami keadaan yang dihadapi peniaga-peniaga kecil ini dan mencari jalan terbaik untuk membantu mereka selain memastikan bandar raya Ipoh kekal bersih," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua persatuan dan pengelola pasar malam agar memastikan SOP dipatuhi kerana perkara itu sentiasa dipantau dari masa ke masa.