Hukuman mati: Harus ada perbincangan terperinci

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming meminta Kabinet membincangkan cadangan memansuhkan hukuman mati bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kajian Rang Undang-Undang yang telah ditubuhkan Parlimen pada Ogos lalu.

Kor Ming berkata cadangan pemansuhan hukuman itu mendapat perhatian dan menjadi perdebatan masyarakat, maka ia munasabah untuk dibincang dengan jawatankuasa itu sebelum sebarang keputusan dicapai.

"Saya mengharapkan Kabinet mempertimbang perkara ini kerana isu sebesar itu perlu dibincang lebih mendalam. Mesyuarat meja bulat boleh diadakan, juga jerayawara untuk mendapat maklum balas pelbagai lapisan masyarakat supaya keputusan yang paling baik dapat dicapai," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata Jemaah Menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Vui Keong dipetik berkata keputusan itu yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu turut meliputi undang-undang seperti Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Angkatan Tentera 1972.

Dalam pada itu, Nga menjelaskan Parlimen setakat ini telah meluluskan penubuhan enam jawatankuasa pilihan khas termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Kajian Rang Undang-Undang.

Katanya, terdapat 12 lagi jawatankuasa pilihan khas akan diluluskan pada masa depan bergantung kepada kesediaan ruang pejabat dan kakitangan di Parlimen.

Kor Ming berkata jawatankuasa yang akan dianggotai oleh wakil daripada kerajaan dan pembangkang itu juga akan memanggil pakar-pakar bidang berkaitan bagi membincangkan isu yang dibawa untuk mencapai keputusan lebih menyeluruh.

"Ini adalah sebahagian daripada reformasi Parlimen yang telah dijanji dan dilaksanakan. Dengan adanya jawatankuasa ini, ia juga akan menyingkatkan proses pembentangan atau pindaan rang undang-undang kerana pihak kerajaan dan pembangkang telah mencapai kata sepakat di peringkat jawatankuasa," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: