X

Kindly register in order to view this article
!

522 individu ingkar PKPP, majoriti terlibat aktiviti kelab malam

Ismail Sabri Yaakob
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 522 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 342 dikompaun manakala 180 direman semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan dikesan ialah terlibat dengan aktiviti dalam pub atau kelab malam seramai 363 individu diikuti 81 orang tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan 36 individu tidak memakai pelitup muka.

“Selain itu, 17 individu didapati keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“12 individu pula gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri, lima didapati menjalankan operasi premis tanpa kebenaran, tujuh tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri dan seorang didapati keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 180 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima penyeludup dan seorang tekong ditangkap semalam, manakala lima kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

“Sebanyak 89 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 31,227 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam dan kesemua mereka ditempatkan di 68 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta.

Katanya, daripada jumlah itu, 8,673 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan sehingga kini seramai 22,483 individu telah dibenarkan pulang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!