Peguam paksi keadilan

No Image Caption
A
A
A

SEMINGGU dua ini, profesion kepeguaman sering diperkatakan di media sosial. Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada profesion itu sama ada sivil atau syariah sehingga ada juga yang memberi label jelik kepada peguam.

Kekeliruan itu timbul disebabkan ketidakfahaman fungsi peguam itu sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan, ia juga hasil sikap menyebelahi satu pihak dan mengherdik pihak yang berlawanan termasuk peguam, sedangkan semua pihak berhak diwakili peguam masing-masing. Prosiding mahkamah bukanlah suatu proses yang mudah difahami orang awam. Ia melibatkan pelbagai prosedur, cara keterangan dan pembuktian serta perundangan yang agak kompleks.

Tindakan tersebut sangatlah mendukacitakan kerana peguam sebagai pegawai mahkamah mempunyai peranan yang besar bagi menegakkan keadilan.

Mungkin ada yang melihat kelunakan hidup dan kemewahan sesetengah peguam sebagai parameter dan fokus kepada ketidakpuasan hati tersebut, walhal kelunakan dan kemewahan itu bukan datang bergolek tetapi dimulai dengan usaha keras sejak sebelum diterima masuk belajar di sekolah undang-undang lagi.

Saya tidak mengatakan profesion lain boleh dibuat sambil lewa sahaja tetapi seorang peguam tidak akan berjaya jika tidak mempunyai kualiti kerja yang tinggi. Tanggungjawab seorang peguam sebenarnya sangatlah besar.

Bermula dengan tanggungjawab kepada ALLAH SWT bagi peguam beragama Islam, seorang peguam juga menggalas beban tanggungjawab kepada mahkamah. Peguam tidak boleh menyalah arah mahkamah, menipu atau merekayasa perkara yang tidak wujud. Begitu juga dengan tanggungjawab kepada anak guam dan masyarakat sekeliling termasuk firma guaman yang beliau bekerja.

Tanggungjawab peguam yang jarang diperkatakan pula adalah kepada peguam dan pihak lawan. Tanggungjawab sebegini jarang dipikul di pundak profesion yang lain kerana seorang peguam mesti menghormati peguam dan pihak lawan. Dengan cara sebegitu, keadilan dapat dilaksanakan kepada pihak-pihak yang berguam di mahkamah.

Piawaian tanggungjawab itu juga sangatlah tinggi sehingga peguam berisiko disaman anak guam mereka jika berlaku pengabaian tanggungjawab. Itulah sebabnya peguam menghabiskan puluhan ribu ringgit semata-mata untuk membayar premium insurans indemniti profesional bagi menanggung rugi anak guam dan lain-lain jika berlaku kecuaian.

Artikel Berkaitan:

Begitulah beratnya beban yang ditanggung peguam. Bukan sahaja di dalam mahkamah tetapi juga di luar mahkamah. Itulah sebabnya peguam lazim diintai masyarakat untuk memimpin mereka.

Kecemerlangan seorang peguam bukan diukur sekadar memenangi kes sahaja tetapi lebih penting adalah memberikan hak kepada yang berhak.

Saya sendiri tidak pernah menemui seorang peguam yang tidak pernah kalah dalam kes yang dikendali mereka. Memang lumrah ada kes kita menang dan ada yang kalah kerana undang-undang serta fakta di mahkamah diadili oleh pihak ketiga yang neutral iaitu hakim.

Saya sendiri beberapa hari lalu telah menyelesaikan satu kes berkaitan hak jagaan anak yang telah berlangsung lebih setahun secara mediasi melalui persetujuan bersama.

Ia membawa kegembiraan kepada kedua-dua pihak, selain dapat memastikan anak yang menjadi rebutan itu dipertahan kebajikannya. Ia adalah antara tugas yang perlu dimainkan secara aktif oleh peguam.

Hakikatnya bukan semua orang se-suai menjadi peguam. Ia terbukti apabila lebih ramai graduan undang-undang yang tidak menjadi peguam berbanding dengan mereka yang menceburi bidang tersebut.

Ramai juga yang beralih profesion setelah beberapa tahun beramal sebagai peguam. Namun, penat lelah mereka be-lajar di sekolah undang-undang masih berguna untuk kehidupan seharian dan apa juga bidang baharu yang diceburi. Peranan peguam sangat besar sama ada di dalam ataupun di luar mahkamah.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia