Husam akan hantar surat kepada Muhyiddin

Husam (tiga dari kanan) hadir merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara Kawasan Kubang Kerian di Dewan Tok Kenali, Kubang Kerian hari ini.
Husam (tiga dari kanan) hadir merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara Kawasan Kubang Kerian di Dewan Tok Kenali, Kubang Kerian hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Amanah Kota Bharu, Datuk Husam Musa akan menyerahkan empat cadangan untuk pembangunan ekonomi di Kelantan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Menurutnya, cadangannya itu pernah disuarakan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi empat surat yang sudah dihantar pada tahun 2019.

Beliau berkata, surat pertama yang dihantar ketika itu adalah untuk mencadangkan supaya penyambungan jajaran paip gas dari Kerteh, Terengganu ke Bachok, Kelantan di bawah sistem Penggunaan Gas Semenanjung (PGU).

"Hanya Kelantan yang belum mempunyai kemudahan PGU ini dan jika ia dapat dilaksanakan insya-ALLAH bekalan gas dapat disimpan di negeri ini. Ia secara tidak langsung menjadikan kos pengeluaran lebih rendah.

"Malah dengan kewujudan PGU ia boleh memberi peluang pekerjaan yang mana menjadi masalah utama Kelantan hari ini di mana anak muda tiada pekerjaan serta pendapatan dan menyebabkan mereka terlibat dengan masalah sosial yang kritikal," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara Kawasan Kubang Kerian di Dewan Tok Kenali, Kubang Kerian hari ini.

Husam berkata, surat kedua yang diserahkan semasa masih menjadi Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan kepada Dr Mahathir dahulu juga iaitu agar mewujudkan semula skim latihan aperantis petroleum untuk anak Kelantan.

Katanya, ia adalah untuk menggalakkan anak muda yang berminat dalam bidang industri gas membina kerjaya pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Dalam surat ketiga yang saya hantar kepada Dr Mahathir juga membabitkan kerajaan Kelantan dengan Petronas agar bersetuju menjadikan satu syarat yang mana 30 peratus daripada peluang perniagaan sama ada kecil atau besar berkaitan di pelantar dan juga dalam industri gas diberikan kepada anak negeri ini.

"Cadangan saya yang terakhir menyentuh berkaitan janakuasa berasaskan gas dibina di Kelantan dan tiga daripada empat surat ini akan dimajukan balik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin serta disalinkan kepada Menteri Besar Kelantan supaya sama-sama mengusahakan cadangan ini," katanya.

Husam berkata, dalam menunggu jawapan kepada empat surat yang diserahkan kepada Dr Mahathir tahun lalu, beliau mendakwa sudah terdapat pelabur yang berminat dengan cadangannya.

Dalam perkara berkaitan pelabur, beliau enggan mengulas lebih lanjut.

"Walaupun Kelantan berada di bawah kepimpinan Pas, saya sebagai Senator menulis sekurang-kurang empat surat kepada Dr Mahathir dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat Kelantan.

"Insya-ALLAH cadangan akan diserahkan selepas PRN Sabah. Jika sebelum ini saya tidak salin surat kepada kerajaan negeri, kali ini ia akan dihantar kepada Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu, Husam berkata, cadangan berkaitan dengan tenaga dan gas itu secara tidak langsung akan mengembalikan semula manfaat daripada sumber gas asli yang di keluarkan dari negeri ini untuk kebaikan rakyat negeri secara amnya dan negara umumnya.

Memetik surat bertarikh 8 November 2019 itu, Husam memaklumkan, pemasangan saluran paip gas asli yang baharu itu dijangka akan mendorong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di sepanjang koridor saluran paip gas asli seperti yang telah berjaya berlaku di pantai barat Semenanjung Malaysia.

“Ia juga akan merangsang dan merancakkan lagi usaha pertumbuhan industri di kawasan pembangunan sedia ada seperti di Pengkalan Chepa, Kelantan,” katanya.