Wan Saiful hantar surat kepada SPRM

Wan Saiful - Foto Awani
Wan Saiful - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa pihaknya telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perundangan membabitkan dua pertuduhan rasuah dihadapinya.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob, peguam, Amer Hamzah Arshad mewakili bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, surat berkenaan telah diserahkan melalui e-mel pada Selasa lalu.

“Kami mahu pihak pendakwaan meneliti isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut dan kami mengambil langkah yang sepatutnya kerana ia membabitkan pertuduhan yang akan dibicarakan di mahkamah,” katanya pada pengurusan kes pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali berkata, surat berkenaan telah diterima pada Rabu lalu.

“Ia akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan dan kami akan memberi maklum balas mengenai perkara ini dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu diterima,” katanya.

Susulan itu, pihaknya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan mengenai surat tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa dokumen berkaitan perbicaraan belum diperoleh daripada pihak bank.

Hanya selepas menerima maklumat berkenaan, beliau berkata, ia akan diserahkan kepada pihak pembelaan.

Rozina kemudian berkata, sebarang isu dalam kes itu sepatutnya diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sejak kes bermula dan tarikh perbicaraan sepatutnya boleh ditetapkan serta-merta.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 22 Mei ini untuk pembelaan dan pendakwaan memaklumkan mengenai perkembangan surat tersebut dan penyerahan dokumen serta pernyataan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Ahli politik itu juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.