Saranan buat pengundi di Sabah

Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. - Foto Bernama
Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. - Foto Bernama
A
A
A

DENGAN berbaki seminggu lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-16 semakin mencetus debaran. Masih belum ada tanda-tanda yang konklusif bahawa ada parti tertentu yang bakal memenangi PRN berkenaan. Malah, persoalan menang dengan majoriti yang besar mungkin masih jauh untuk diperkatakan.

PRN Sabah kali ini merekodkan seramai 447 calon bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan Datuk Seri Anifah Aman mendahului jumlah calon dengan bertanding di semua 73 DUN, diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO-47), Parti Liberal Demokratik (LDP-46), Barisan Nasional (BN-41), Perikatan Nasional (PN-29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan-28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS-24) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebanyak 22 kerusi.

Ia diikuti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) seramai 12 calon, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di tujuh kerusi, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat; lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri; dua) dan masing-masing seorang calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan) serta Parti Kebangsaan Sabah (PKS).

Seramai 56 calon bertanding atas tiket Bebas. Fakta bahawa PRN Sabah memperlihatkan jumlah calon yang begitu besar bertanding sudah cukup memberi gambaran mudah iaitu keputusan pilihan raya kali ini mungkin menghasilkan keputusan yang terpecah-pecah.

Perpecahan antara parti terutama BN dan PN (dalam isu calon Ketua Menteri dan pembahagian kerusi) dan persaingan pelbagai penjuru, selain faktor parti, personaliti calon dan pertembungan sesama sendiri dijangka menyumbang kepada keputusan tersebut.

Sekiranya ia berlaku, Sabah akan sekali lagi dihumban ke dalam ketidaktentuan politik untuk kesekian kali. Dua senario yang mungkin berlaku.

Pertama, parti-parti tempatan baharu (atau calon Bebas) memiliki sejumlah kerusi yang berpotensi menjadikan mereka sebagai king maker kepada parti utama (BN/PN atau Warisan Plus) bagi membolehkan kerajaan dibentuk dan kedua, aktiviti lompat parti akan kembali menjadi penyelesaian segera dan sekali gus menjadikan PRN Sabah sia-sia serta membuang masa.

Pilihan

Artikel Berkaitan:

Senario itu bukan penyelesaian konkrit kepada permasalahan politik di Sabah sama ada menjadi kingmaker atau lompat parti kerana yang rugi tetap orang Sabah. Kerajaan yang terbentuk selepas itu sudah tentu menjadi sebuah kerajaan yang lemah dan rapuh. Mudah digugat dan dijolok jatuh.

Sebab itu, ia akan ditentukan melalui pilihan orang Sabah, sama ada pilihan mereka solid terhadap sesebuah parti atau akan berpecah mengikut selera, rasionaliti atau identifikasi parti seperti yang dijangka.

Persoalannya, apakah tiada penyelesaian mudah kepada permasalahan itu? Barangkali cara yang mudah ketika ini adalah dengan melihat siapa yang bakal diletakkan sebagai calon Ketua Menteri.

Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi itulah antara pilihan yang boleh dipertimbangkan pengundi. Ketua Menteri yang berwibawa, berpengalaman dan berkemahiran mampu merancang hala tuju pentadbiran negeri. Selalunya mereka yang sebegini mampu membentuk satu pasukan yang mantap bagi merealisasikannya.

Berbanding melihat calon atau parti dari perspektif sempit melalui kaca mata peribadi, emosi atau persepsi, pengundi di Sabah kali ini wajar melihat aspek Ketua Menteri dari perspektif yang luas dan lebih umum, kepentingan Sabah dalam jangka masa panjang.

Jika di Barat, ia sering menjadi pertimbangan berbanding faktor lain terutama dalam perspektif parti politik secara en bloc. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS) yang memilih antara Donald Trump dan Hillary Clinton sebagai Presiden.

Walaupun berbeza secara perbandingan (disebabkan perbezaan sistem politik antara Malaysia dan AS), tetapi ia masih boleh digunakan secara analogi atas dasar mengundi dan pilihan raya.

Jadi pengundi di Sabah, berbanding melihat calon-calon parti pada peringkat kawasan, mereka mungkin boleh mempertimbangkan siapa bakal Ketua Menteri parti calon itu sebelum memangkahnya di kertas undi.

PRN Sabah harus dijadikan kesempatan untuk menamatkan kemelut politik yang ada dan seterusnya mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban