Sudah terhantuk, baru terngadah

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

MINGGU ini kecoh isu elaun pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid di Selangor dipotong hampir 50 peratus.

Menurut laporan, setiap nazir, bilal dan siak masjid yang sebelum ini mendapat elaun lebih kurang RM200 sebulan, dipotong separuh kepada RM100 sebulan.

Tok Ki dengar pemotongan itu dibuat atas alasan penyelarasan bajet oleh Lembaga Zakat Selangor.

Sebagai sebuah negeri maju dengan kadar kutipan zakat antara yang tertinggi di Malaysia tetapi memotong elaun hampir 50 peratus, tentulah mengejutkan dan mengundang kecaman.

Setahu Tok Ki bukan semua AJK masjid itu kerja bergaji besar. Sesetengahnya bekerja sendiri atau sudah bersara. Mereka juga terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19).

Apatah lagi sejak 2013, gaji Exco dan Menteri Besar Selangor telah dinaikkan sehingga gaji MB di negeri itu adalah yang paling tinggi di Malaysia. Gaji MB naik lebih 100 peratus iaitu RM29,250 daripada RM14,175 sebulan.

Maka janganlah marah kalau orang mengata gaji Menteri Besar RM29,000 sebulan, elaun siak RM200 juga hendak dipotong!

Mujurlah MB Selangor kemudiannya tersedar selepas teruk kena kecam.

Artikel Berkaitan:

Meskipun telah mengarahkan elaun AJK masjid tersebut dikembalikan kepada kadar asal, namun MB Selangor ibarat orang terlajak perahu. Perahu boleh diundur tetapi kesilapannya itu sudah dilihat orang.

Tok Ki faham orang Malaysia ini sangat sensitif bab duit. Lebih-lebih lagi kalau terpaksa keluarkan wang daripada poket sendiri.

Walaupun mereka mampu beli kereta atau basikal mahal, tapi kalau disuruh bayar 20 sen cukai beli-belah online pun, silap-silap boleh meruntuhkan sebuah kerajaan.

Sebab itu pemimpin perlu berhati-hati menguruskan ekonomi rakyat. Kalau nak tambah tak apa, tapi kalau nak kurangkan apa-apa yang telah diberi, rakyat berhak diberitahu dahulu. Jangan sudah terhantuk, baru terngadah.

Salah satu peribahasa yang terkenal sejak zaman sekolah rendah ialah kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Peribahasa itu memberi peringatan kepada kita bahawa kata-kata yang tidak baik akan mengakibatkan bencana kepada diri sendiri dan orang lain.

Mungkin itulah juga yang dilalui oleh seorang influencer media sosial yang namanya hangat diperkatakan minggu ini.

Pada mulanya usahawan wanita itu mendakwa dihalau ketika membuat reviu produk menerusi siaran langsung FB Live di sebuah restoran terkenal.

Kemudian, satu video lamanya pula tersebar menunjukkan dia didakwa memaki seorang pengguna Facebook dengan menghina bentuk tubuh wanita berkenaan. Selepas dikecam, influencer itu meminta maaf.

Tok Ki akui FB Live sudah jadi trend orang jual barang sekarang. Bukan sahaja pemilik butik atau saudagar gajet buat promosi guna FB Live, penjual kereta terpakai dan peniaga kasut di kaki lima pun begitu.

Malah, peniaga burger tepi jalan di tempat Tok Ki tinggal juga buat perkara yang sama. Nak bagi penonton terliur, katanya.

Tetapi mereka ini jual produk sendiri di tempat sendiri. Kalau jual produk sendiri di tempat orang pastilah lain situasinya.

Kalau sudah live, berpada-padalah bila berkata-kata. Jangan disebabkan ramai follower, diri jadi besar kepala.

Mutakhir ini memang kerap kita dengar mengenai tindakan saman fitnah. Ahli politik saman bekas menteri, penyanyi saman pelakon, ibu saman anak dan macam-macam lagi.

Pendek kata, fitnah memang terjadi dalam pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Tok Ki percaya semua ini bermula seperti ungkapan tadi, kerana mulut badan binasa. Masalahnya, ramai yang kebal dengan peribahasa ini.