X

Kindly register in order to view this article
!

584 individu ingkar arahan PKPP

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kesalahan membabitkan aktiviti di kelab malam merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi dengan 292 kes direkodkan kelmarin diikuti dengan 224 individu ditahan kerana gagal mematuhi penjarakkan fizikal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka merupakan antara 584 individu yang ditahan polis kelmarin selain seramai 18 individu ditahan kerana melanggar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), 17 gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri, 14 tidak memakai pelitup muka dan 13 menceroboh kawasan larangan.

“Enam premis didapati beroperasi lebih masa dan daripada jumlah itu (keseluruhan kes) seramai 568 individu telah dikompaun manakala 16 individu direman," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Merujuk kepada Ops Benteng pula, Ismail Sabri berkata, seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga penyeludup dan tiga tekong ditangkap dalam operasi itu selain menyaksikan rampasan 10 kenderaan darat.

Beliau berkata, daripada jumlah itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menangkap 27 PATI atas kesalahan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor.

"Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan di Rantau Panjang, Kelantan,” katanya dan menambah seramai 29,748 PATI telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!