Lelaki miliki senjata buku lima diberkas

Antara barangan dan senjata yang dirampas polis selepas memberkas suspek di Brickfields hari ini.
Antara barangan dan senjata yang dirampas polis selepas memberkas suspek di Brickfields hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang mempunyai 19 rekod jenayah lampau ditahan kerana memiliki senjata buku lima di Brickfields, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @Hilmi berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pada jam 11.20 pagi.

“Ketika rondaan dilakukan, lelaki berkenaan dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. Suspek cuba melarikan diri, namun kita berjaya memberkasnya.

"Hasil pemeriksaan menemukan polis dengan senjata buku lima di dalam beg silangnya dan suspek mengaku membeli senjata itu di Jalan Petaling," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal ditunggangi suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, hasil semakan nombor enjin, kenderaan itu dilaporkan masih hilang.

"Suspek yang mempunyai 19 rekod jenayah lampau termasuk dua dikehendaki polis berhubung kes dadah dan khianat mengaku terlibat dengan kes curi motosikal di Danau Kota, Setapak bersama seorang lagi rakan sejenayahnya.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah heroin. Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: