'Kami tiada tempat lain, ini sajalah sumber pencarian'

Jasmin (tiga, kanan)menyerahkan memorandum kepada Fahrin (tiga, kiri) di Istana Alam Shah, hari ini.
Jasmin (tiga, kanan)menyerahkan memorandum kepada Fahrin (tiga, kiri) di Istana Alam Shah, hari ini.
A
A
A

KLANG - Seramai 35 peniaga di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, yang berniaga sejak 30 tahun lalu di kawasan itu bimbang punca pendapatan mereka hilang berikutan gerai akan dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Kebimbangan timbul apabila mereka menerima notis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada 17 Januari lalu yang meminta gerai mereka dirobohkan pada 30 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Gerai Gerai Kampung Tasik Tambahan, Jasman Aslim, 68, berkata, mereka berharap MPAJ mempertimbangkan semula keputusan itu kerana kebanyakan peniaga itu sudah berniaga di situ sejak 30 tahun lepas.

Menurutnya, PBT terbabit memberi alasan gerai-gerai berkenaan terletak di atas rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sebarang struktur tidak dibenarkan dibina di kawasan itu.

“Kebanyakan peniaga di sini warga emas dan sumber pendapatan bergantung kepada hasil perniagaan.

“Kami tiada tempat lain untuk berniaga jika gerai-gerai ini dirobohkan MPAJ, ini sajalah sumber pencarian kami,” katanya selepas menyerahkan memorandum meminta campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah berhubung perkara berkenaan.

Memorandum terbabit diserahkan kepada Pegawai Tadbir Pejabat Sultan Selangor, Fahrin Asmawi, di Istana Alam Shah, hari ini.

Tambah Jasman, gerai mendapat Lesen Pendudukan Sementara (TOL) juga akan turut dirobohkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Norizwan Mohamed, 41, berkata, kesemua peniaga menerima surat untuk menghantar dokumen pemilikan perniagaan kepada pejabat Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat dalam masa tiga hari.

“Tapi pada 17 Januari, kami menerima notis perobohan oleh MPAJ tanpa ada sebarang rundingan. Jadi kami amat berharap pihak berkenaan kaji semula perkara ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada pihak datang berbincang dengan mereka mengenai perkara itu.

“Kami sudah hantar surat memohon untuk batalkan kerja-kerja perobohan ini kepada MPAJ dan pejabat wakil rakyat tetapi sehingga kini tiada jawapan kukuh diberikan.

“Jadi kami bersepakat untuk serahkan memorandum ini kepada Sultan Selangor supaya masalah ini ada penyelesaian terbaik,” katanya.