X

Kindly register in order to view this article
!

Tak perlu panik, hawar berdarah tidak jangkiti manusia

Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Kampung Boy’ atau ‘Mowgli Malaysia’ melihat seekor demi seekor kerbau peliharaan bapanya yang ditemui mati ketika melawat ke kandang kerbau di Kampung Banggol Katong hari ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) yang disyaki dikesan melibatkan lebih 30 ekor kerbau di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu tidak berisiko berjangkit dengan manusia.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik.

"Penyakit HS adalah penyakit bukan zoonotik iaitu tidak berjangkit pada manusia. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik memandangkan tiada risiko penyakit tersebut kepada manusia.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima lagi kerbau Syukur mati, kandang ditutup elak jangkitan wabak

36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah

"Kerjasama penternak adalah amat diperlu bagi melaporkan sebarang kes disyaki penyakit HS di mana-mana Pejabat Veterinar Negeri atau Pejabat Veterinar Daerah berdekatan," menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, HS merupakan penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella Multocida (p. multocida) Carter’s Type B.

Menurutnya, penyakit tersebut biasanya menyerang ternakan lembu dan kerbau dan boleh menyebabkan kematian dalam jangka masa 8 hingga 24 jam selepas dijangkiti.

"Penyakit HS kerap menyerang ternakan pada musim hujan. Bagaimanapun penyakit HS tidak menjangkiti manusia," katanya.

Tambah kenyataan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu telah menjalankan bedah siasat ke atas ternakan yang mati dan semua sampel telah dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan penyakit.

"Notis arahan kuarantin mengikut seksyen 18 Akta Binatang 1953 telah dikeluarkan dan diserahkan kepada penternak pada 13 September 2020. Pemberian ubat antibiotik pada ternakan yang bergejala," kata kenyataan tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!