Lelaki serang kawan dengan parang direman 4 hari

Lelaki berusia 21 tahun ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Lelaki berusia 21 tahun ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda direman empat hari bermula hari ini susulan insiden serang seorang remaja dengan sebilah parang di Seberang Takir, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Suspek berusia 21 tahun ditahan di rumahnya di Seberang Takir oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dalam Op Tebuk/ Samun jam 12.10 tengah malam tadi.

Menurut sumber, dalam kejadian dilaporkan pada 18 Januari lalu, suspek dikatakan menyerang mangsa yang berusia 19 tahun yang juga rakannya dengan sebilah parang kerana tidak berpuas hati mangsa mencuri telefon bimbit teman wanitanya.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan menerima 10 jahitan,” katanya.

Sumber berkata, sebelum kejadian mangsa pergi ke sebuah kedai makan berhampiran bersama beberapa rakan termasuk suspek yang kemudian mengajak mangsa ke rumahnya.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menerima ajakan suspek dan sebaik tiba di rumahnya rakannya itu segera masuk ke dalam manakala mangsa hanya menunggu di luar.

“Bagaimanapun, suspek yang keluar sambil membawa sebilah parang bertindak memukul kepala mangsa kerana tidak berpuas hati dengan remaja lelaki terbabit yang dikatakan mencuri telefon bimbit milik teman wanitanya.

“Mangsa menafikan tuduhan suspek tetapi mengaku ada membeli sebuah telefon jenama Iphone 5S daripada suspek di sebuah rumah kedai di Kampung Batin, Kuala Nerus sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu hari ini bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata dijalankan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pemuda tergamak menyerang rakannya dengan sebilah parang hanya disebabkan salah faham berhubung kehilangan telefon bimbit teman wanitanya.