Hawar berdarah: Daging boleh dimakan tapi tidak digalakkan

Muhammad Syukur kelihatan sedih apabila 36 ekor kerbau milik bapanya didapati mati seekor demi seekor sejak Rabu lepas di Kampung Kubang Bujuk. - Foto Bernama (Gambar kecil: Dr Mohd Termizi)
Muhammad Syukur kelihatan sedih apabila 36 ekor kerbau milik bapanya didapati mati seekor demi seekor sejak Rabu lepas di Kampung Kubang Bujuk. - Foto Bernama (Gambar kecil: Dr Mohd Termizi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Daging haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) boleh dimakan kerana ia tidak menjangkiti manusia.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, walaupun daging tersebut selamat untuk dimakan namun amalan berkenaan tidak digalakkan.

“Boleh dimakan tapi tidak digalakkan kerana ia boleh menjadi sumber kepada jangkitan lain. Maksudnya kalau tidak dijaga dengan betul bahan dari lembu seperti darah, organ boleh menjangkiti haiwan lain.

“Sebab itu kena ambil langkah berjaga-jaga semasa sembelih dan membersihkan lembu, contohnya darah tidak boleh bersepah bagi mengelak terkena haiwan lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Selain memerlukan pengurusan rapi dan ketat ketika proses melapah, Dr Mohd Termizi berkata, pada asasnya daging dan organ haiwan yang dijangkiti penyakit HS juga tidak lagi normal seperti kebiasaan.

“Biasanya akan wujud bintik-bintik seperti radang pada daging dan organ haiwan yang terkena HS, kalau kita tengok pun memang tidak ada selera nak makan sebenarnya,” katanya.

Semalam, Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ dikejutkan dengan kematian 36 kerbau peliharaan keluarganya di Kampung Banggol Katong, Serada, di sini secara berperingkat sejak Rabu lalu dipercayai akibat dijangkiti HS.

ARTIKEL BERKAITAN: 36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Artikel Berkaitan:

Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah

Penyakit HS pertama mula dilaporkan pada 9 Ogos lalu di Kampung Tuman Jerong, Marang melibatkan kematian mengejut 22 ekor kerbau dan 15 lembu milik 13 penternak.

Kes terbaharu pula pada Sabtu lepas melibatkan seorang penternak di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu apabila tujuh ekor kerbau miliknya ditemui mati secara tiba-tiba.

Sehubungan itu JPV Terengganu menjalankan operasi memberi vaksin kepada haiwan ternakan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Sejak 30 Ogos lalu, JPV Terengganu sudah memberi vaksin kepada 675 ekor lembu dan 58 kerbau milik 106 penternak melibatkan 12 kampung di negeri berkenaan bagi memastikan haiwan mereka tidak dijangkiti HS.