PKPP: Tangkapan di kelab malam, pub meningkat

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti dalam pub dan kelab malam masih menjadi kesalahan tertinggi dicatatkan apabila 608 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu merekodkan sebahagian besar jumlah keseluruhan 763 individu yang ditahan kerana melanggar arahan PKPP semalam.

"Kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (enam), aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (63), tidak memakai pelitup muka (22), private party (pesta persendirian) (27), premis beroperasi lebih masa (satu).

"Premis beroperasi tanpa lesen (satu), perjudian sabung ayam (10), disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian (12), ingkar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD-12) dan lain-lain aktiviti (satu)," katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan PKPP di sini hari ini.

Bagi Op Benteng, beliau berkata, 71 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tekong dan seorang penyeludup ditahan melalui operasi tersebut.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 10 migran kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah di Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor.

"Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksana semalam yang melibatkan PDRM (57 SJR), Anggota Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM-10 SJR) dan ATM (12 SJR)," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 28,508 individu telah pulang ke tanah air dan ditempatkan di 73 hotel dan lapan premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 10,359 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 69 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan dan 18,080 individu telah discaj dan dibenarkan pulang.

Beliau memaklumkan sejak 30 Mac lepas, kerajaan telah melakukan 9,937 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon.

"Ia melibatkan 12,994 premis terdiri daripada 2,711 pusat perniagaan, 5,717 bangunan kerajaan, 1,599 kawasan perumahan termasuk Program Perumahan Rakyat, 2,613 tempat awam dan 354 pasar raya," katanya. - Bernama