Bayi putus tangan digigit anjing: Pemilik tiada lesen berdepan denda

Dalam laporan Sinar Harian semalam, seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan akibat digigit seekor anjing peliharaan dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di rumahnya di Bachang di sini pada Selasa lalu.

A
A
A

MELAKA - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan pemilik anjing yang menggigit tangan kanan seorang bayi perempuan berusia tujuh hari hingga putus di Bachang pada Selasa lalu, tidak memiliki lesen peliharaan haiwan.

Datuk Bandar, Datuk Zainal Abu berkata, anjing jenis plott hound milik seorang lelaki berusia 41 tahun itu telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri untuk kuarantin selama dua minggu bagi memastikan tiada gejala penyakit anjing gila (Rabies).

"Sepasukan anggota MBMB bersama pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar ke lokasi kejadian di Taman Widuri, Bachang susulan laporan diterima.

"Kita dapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod pemilikan lesen anjing baka Jerman yang jarang dipelihara dan tidak boleh dilesenkan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan akan mengambil tindakan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka, Dr Aidi Mohamad berkata, kuarantin haiwan dibuat selama 14 hari dan jika ada tanda-tanda virus rabies, anjing akan dilupuskan.

Menurutnya, tangkapan anjing jantan yang menggigit bayi berkenaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 untuk pemerhatian penyakit anjing gila dan sekiranya tiada tanda penyakit, anjing berkenaan akan diserahkan semula kepada MBMB selepas tempoh kuarantin untuk tindakan lanjut.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan akibat digigit seekor anjing peliharaan dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di rumahnya di Bachang di sini pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Bayi tujuh hari putus tangan digigit anjing

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai diletakkan di ruang tamu berhampiran pintu jeriji oleh ibu saudaranya untuk 'menjemur' mangsa bertujuan mendapatkan sinaran matahari bagi mengurangkan penyakit demam kuning atau jaundis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, bagaimanapun, anjing peliharaan milik suami kepada ibu saudara mangsa telah mencederakan bayi berkenaan yang dibiarkan bersendirian di ruang tamu sehingga mengalami kecederaan parah pada tangan.