X

Kindly register in order to view this article
!

'RM2 juta memang untuk PRK, bukan kegunaan peribadi Ku Nan'

Tengku Adnan (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah sebanyak RM2 juta.
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan bagi perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sekali lagi menekankan, wang RM2 juta yang diterima merupakan sumbangan politik bagi perjalanan pilihan raya kecil (PRK).

Ketika prosiding hujahan akhir bela diri di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Bendahari Agung UMNO itu berkata, ia diakui oleh dua saksi pendakwaan ke-19 dan ke-23 iaitu Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas), Tan Sri Chai Kin Kong dan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Saad Bordani.

Menurut keterangan Kin Kong dalam prosiding lalu, Hock Chuan berkata, cek RM2 juta bertarikh 14 Jun 2016 itu adalah sumbangan atau dana politik kepada Tengku Adnan untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Hock Chuan berkata, Kin Kong juga mengaku, beliau mengetahui perkara itu sejak awal, bahawa sumbangan jutaan ringgit tersebut, bukan untuk kegunaan peribadi Tengku Adnan sebaliknya bagi perjalanan politik UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah Ku Nan: Pembelaan tutup kes selepas panggil empat saksi

RM2 juta umpama duit poket sahaja, kata Ku Nan

Kes Ku Nan: Resit bayaran RM2 juta dipercayai dikeluar pada 2018

Malah Hock Chuan berkata, Muhamad Saad setuju bahawa siasatan SPRM membuktikan cek RM2 juta itu merupakan sumbangan politik untuk dua PRK.

“Selain itu, saksi pendakwaan keenam, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Tadmansori Holding Sdn Bhd, Datuk Mohd Hasbi Jaafar ketika memberi keterangan berkata, bahawa dia menerima kiriman WhatsApp slip deposit RM2 juta Aset Kayamas Sdn Bhd daripada Tengku Adnan.

“Dia (Mohd Hasbi) memberitahu, Tengku Adnan memaklumkan wang itu untuk kegunaan politik parti UMNO ketika dua PRK berkenaan,” katanya.

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan, menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung Jumaat depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!