Pafa sokong sistem kawalan ekonomi Liga-M

No Image Caption
A
A
A

NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abd Aziz Yeop Jamaluddin menyokong langkah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) melaksanakan sistem kawalan ekonomi ke atas pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sambil menyifatkannya sesuatu yang positif.

Beliau berkata, sistem berkenaan wajar dilaksanakan di negara ini memandangkan beberapa pasukan tempatan dalam Liga-M, jelas bergelut dengan masalah kewangan sehingga menyebabkan ada yang berhutang.

Abd Aziz bagaimanapun percaya MFL perlu mendapatkan kerjasama daripada pengurusan negeri dan kelab dalam mengatasi masalah kewangan yang menghantui Liga Malaysia pada setiap musim.

Liga Bola Sepak Profesional Sepanyol, La Liga telah mempraktikkan sistem kawalan ekonomi sejak beberapa tahun lepas yang terbukti berjaya melangsaikan hutang pemain kelab Sepanyol.

“Saya percaya di sana (Sepanyol), semua pasukan memberikan kerjasama untuk La Liga melakukan sebarang perubahan termasuk kawalan ekonomi ini.

“Jadi di sini, semua pasukan juga perlu berikan kerjasama dan menyokong usaha MFL. Mentaliti kena ubah... jangan anggap semua perkara itu remeh. Banyak dokumen diperlukan oleh MFL untuk melihat kedudukan kewangan pasukan, jadi semua pasukan perlu bersedia untuk bekerjasama,” katanya yang dipetik sebagai berkata menerusi satu kenyataan dikeluarkan MFL.

Mengulas lanjut, Abd Aziz yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia, bagaimanapun menegaskan perkara berkenaan perlu diteliti dengan lebih lanjut oleh MFL memandangkan La Liga memerlukan masa sehingga lima tahun untuk melangsaikan hutang pasukan terlibat dalam Liga Sepanyol.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi baru-baru ini memaklumkan MFL bersedia mempraktikkan sistem kawalan ekonomi seperti yang digunakan La Liga.

Artikel Berkaitan:

Sejak dilaksanakan pada 2012, La Liga dilaporkan berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak 90 juta Euro (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

Menerusi kawalan ekonomi ini perbelanjaan pasukan dikawal mengikut kedudukan kewangan mereka dan tindakan lebih tegas akan diambil kepada pasukan yang masih berhutang selepas peraturan itu dikuatkuasakan. - Bernama