Pilihan Raya Umum 14 tidak sah?

A
A
A

MINGGU lalu Peguam Negara, Tommy Thomas, telah mengumumkan penubuhan tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku ke atas enam anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peranan mereka menjelang dan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Penubuhan tribunal ini berikutan representasi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa enam ahli SPR itu harus disiasat dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dipecat menurut Perkara 114(3) dan 125(3) Perlembagaan Persekutuan atas syor tribunal itu.

Mereka yang didakwa ialah Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

Tribunal ini akan terdiri daripada lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara, iaitu Steve Shim Lip Kiong (Pengerusi), Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan Kok Wha, dan Prasad Sandosham Abraham.

Undang-undang negara mempunyai peruntukan yang melindungi pemegang jawatan tertentu dari percaturan politik dan tindakan berpihak. Antara yang berada dalam kategori perlindungan ini ialah para hakim dan ahli SPR.

Justeru seperti mana kedudukan hakim-hakim, ahli SPR juga tidak boleh dipecat atau ditamatkan kontrak lebih awal kecuali melalui satu tribunal yang ditubuhkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tujuan perlindungan ini ialah bagi menjaga integriti dan kebebasan kehakiman dan SPR supaya tidak mudah diugut dan tunduk kepada ahli politik.

Ura-uru penubuhan tribunal ini timbul pada awal Oktober 2018 apabila enam ahli SPR terbabit enggan mengikut jejak langkah Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, melepaskan jawatan selepas tamat PRU14.

Artikel Berkaitan:

Justeru beberapa media telah digunakan memetik sumber kerajaan bahawa satu tribunal akan ditubuhkan bagi mengambil tindakan ke atas mereka. Ini merupakan ugutan tersirat kepada ahli SPR, letak jawatan atau dipecat melalui tribunal. Justeru keenam-enamnya meletak jawatan bagi mengelakkan nasib mereka akan berakhir seperti mana Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan lima hakim Mahkamah Agung pada 1988.

Pada 1988, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keempat, Dr Mahathir, telah menubuhkan tribunal untuk memecat Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. Krisis kehakiman yang berlaku pada masa tersebut menyaksikan Tun Salleh Abas dan tiga hakim mahkamah agung dipecat.

Berikutan perletakan jawatan tersebut, pada Oktober 2018 juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, memaklumkan kepada Parlimen bahawa tiada keperluan untuk kerajaan menubuhkan tribunal menyiasat dakwaan salah laku ahli SPR ketika PRU14.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan terkini mengenai perletakan jawatan ahli SPR itu, isu penubuhan tribunal tidak berbangkit lagi. Justeru pengumuman penubuhan tribunal bagi memecat mereka yang telah meletak jawatan ini sangat mengejutkan. Ia bertentangan sama sekali dengan kenyataan Menteri di Parlimen.

Apakah Parlimen telah dibohongi oleh Kabinet?

Apa motif Dr Mahathir meneruskan tribunal ini? Adakah ini merupakan langkah membatalkan keputusan pilihan raya di kawasan-kawasan yang parti Bersatu telah kalah dalam PRU14?

Dr Mahathir telah beberapa kali menyatakan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun selepas PRU14 bergantung kepada rakyat, bukannya persetujuan antara mereka. Rakyat hanya boleh menentukan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri jika berlaku pilihan raya umum.

Justeru penubuhan tribunal ini mungkin merupakan langkah Dr Mahathir mewujudkan kemungkinan pilinan raya umum baharu, sama ada melalui pembubaran Parlimen atau pembatalan keputusan PRU14.

Jika tribunal mendapati ahli-ahli SPR terbabit bersalah maka ia bukan sahaja bermakna mereka dipecat, tetapi juga menyebabkan keputusan PRU14 boleh dibatalkan. Ini kerana pertuduhan yang dibuat membabitkan tindak-tanduk mereka ketika PRU14.

Jika seseorang hakim bersalah melanggar undang-undang dan prosedur dalam perbicaraan maka sesuatu perbicaraan akan disytihar sebagai 'mistrial' dan dibicarakan semula. Maka hal sedemikian juga seharusnya berlaku kepada keputusan PRU14 jika ahli-ahli SPR didapati bersalah oleh tribunal.

Salah laku ahli SPR bukan seperti salah laku pegawai pilihan raya kawasan yang hanya menyebabkan keputusan kawasan tersebut sahaja dibatalkan. Jika ahli-ahli SPR ini disabitkan kesalahan ia bermakna seluruh keputusan PRU14 tercemar dan harus diisytiharkan batal.

Sebaik sahaja tribunal mendapati mereka bersalah, parti yang bertanding boleh mengemukakan saman membatalkan seluruh keputusan PRU14. Maka ketika itu mahkamah tiada pilihan kecuali membatalkan PRU14, melainkan ada campur tangan dalam kehakiman.

Seperti mana pengharaman Umno 1988 menutup peluang kumpulan Tengku Razaliegh Hamzah, pembatalan keputusan PRU14 akan menjadikan hasrat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 sebagai mimpi siang hari sahaja.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)