X

Kindly register in order to view this article
!

Tanggungjawab kita pelihara sungai

A
A

AIR sangat diperlukan dalam kehidupan kita. Malah, seluruh makhluk yang hidup di muka bumi ini sangat memerlukan air. Tanpa air yang mencukupi, akhirnya pokok akan mati, binatang akan mati dan manusia juga akan mati. Begitulah pentingnya air dalam kehidupan makhluk ALLAH di muka bumi ini.

ALLAH telah menciptakan alam ini dengan sebaik-baiknya dan penuh keindahan. Dijadikannya sungai dan lautan, gunung-ganang, daratan dan sebagainya. Semua itu adalah untuk kemudahan makhluk ALLAH yang menghuni bumi ini.

Dalam Surah Ibrahim, ayat 32, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “ALLAH jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat daripadanya).”

Pada bahagian akhir dalam ayat di atas dijelaskan bahawa ALLAH menciptakan sungai-sungai sebagai satu kemudahan kepada hamba-Nya yang mana pelbagai manfaat boleh diperoleh daripadanya.

Sewajarnya kemudahan yang telah dikurniakan itu dipelihara dan dilindungi dengan sebaiknya agar manfaat sungai tersebut terus dapat dinikmati oleh semua generasi yang ada di bumi ini sehingga akhir zaman.

Namun realiti yang kita lihat pada hari ini, sungai-sungai sudah banyak yang tercemar. Pencemaran air sungai berlaku disebabkan oleh banyak faktor.

Antaranya pembuangan sisa kimia dan pelbagai lagi bahan yang boleh menjejaskan air sungai sehingga menjadikannya tidak selamat untuk diminum.Yang terbaru apa yang berlaku pada minggu lepas di mana pada 3 September, pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mengumumkan penutupan empat loji rawatan air ekoran daripada pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

Penutupan empat loji rawatan air itu telah menyebabkan beberapa kawasan iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air.

Diberitakan bahawa pencemaran itu berpunca daripada kilang yang menyelenggara mesin dan jentera di Rawang. Malah, dikhabarkan juga bahawa ini bukan kali pertama kilang tersebut melakukan kesalahan yang membabitkan pencemaran air.

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun, sewajarnya sedar dan insaf bahawa tanggungjawab memelihara dan memulihara sungai, malah alam sekitar secara keseluruhannya adalah tanggungjawab bersama.

Jika tanggungjawab tersebut tidak ditunaikan dengan baik, maka bukan orang lain sahaja yang akan menanggung akibatnya tetapi orang yang tidak bertanggungjawab itu juga akan terkesan sama.

Air yang tercemar jika diminum akan menyebabkan pelbagai penyakit dan ini tentu sekali boleh mengancam nyawa manusia dan juga haiwan lain. Malah, tumbuh-tumbuhan juga pasti terjejas.

Bayangkan apa akan jadi sekiranya perbuatan tidak bertanggungjawab sebegitu terus berlaku.

Menjadi satu persoalan, kenapa perkara seperti itu boleh berlaku? Apatah lagi bila dikhabarkan bahawa apa yang berlaku pada minggu lepas adalah berpunca daripada kilang yang pernah melakukan kesalahan sama. Pada pandangan saya, jika penguatkuasaan dilakukan dengan baik, sudah pasti perkara sebegitu boleh dielak. Pemantauan yang ketat dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa amat diharapkan agar perkara seumpama itu tidak lagi berlaku.

Akhir kalam, kepentingan orang ramai perlu diutamakan oleh pihak berkuat berbanding dengan kepentingan pemilik kilang atau mana-mana premis atau individu sekali pun. Ini kerana nyawa manusia wajib dipelihara. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!