Covid-19: Kedah Medical Centre ditutup tiga hari

DR KAMARUZZAMAN
DR KAMARUZZAMAN
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah Medical Centre (KMC) menutup perkhidmatan pesakit luar dan dalam selama tiga hari bermula hari ini untuk kerja-kerja pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh susulan pengesahan kes Covid-19 di hospital berkenaan.

Pengarah Perubatan KMC, Datuk Dr Kamaruzzaman Ali berkata, hanya perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) akan dibuka untuk memenuhi kes kecemasan.

Menurutnya, keputusan itu dicapai selepas pertemuan pihaknya dengan pihak berkuasa kesihatan negeri.

“Penutupan sementara hospital akan membolehkan kami menjalankan pembersihan menyeluruh di hospital ini. Pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang atau Hospital Pakar KPJ Perlis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Kamaruzzaman berkata, setakat semalam, seramai 18 kakitangan hospital itu dan tujuh ahli keluarga mereka dikenal pasti positif Covid-19 manakala 619 pekerja telah diperiksa.

“KMC juga melakukan pengesanan kontak dengan segera dan semua staf yang mempunyai kontak rapat telah dikenal pasti, diuji dan dikuarantin. KMC turut menyaring 44 pesakit dalam untuk menjalani ujian antigen serta ujian PCR,” katanya.

Menurutnya, semua pesakit dalam telah diperiksa oleh perunding perubatan masing-masing sebelum didiscaj.

“Environmental swab dilakukan di 50 kawasan hospital. Semua kawasan dikunjungi staf dan pesakit segera dibasmi kuman mengikut garis panduan kawalan jangkitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Kamaruzzaman berkata, KMC telah membuat tindakan pencegahan dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta bekerjasama dengan pegawai kesihatan awam dan KKM untuk memastikan semua pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Operasi keseluruhan akan dibuka semula pada 13 September dan pesakit boleh meneruskan rawatan seperti biasa di hospital ini,” katanya.