Rosmah gagal halang media melaporkan penyataan Rizal

Rosmah hadir untuk sambung perbicaraan kes rasuahnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Rosmah hadir untuk sambung perbicaraan kes rasuahnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk melarang media melaporkan bahagian tertentu dalam penyataan saksi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor yang dibacakan dalam perbicaraan rasuah dihadapinya berkaitan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan semasa menolak permohonan itu berkata, beliau berpandangan tidak wajar melarang media daripada melaporkan penyataan saksi diberikan Rizal, 46, yang merupakan saksi ke-21 pihak pendakwaan.

Pasukan pembelaan Rosmah sebelum itu membantah bahagian-bahagian tertentu dalam penyataan saksi Rizal yang mereka dakwa amat prejudis dan bersifat pembunuhan karakter terhadap anak guam mereka.

Peguam Datuk Jagjit Singh berkata, mahkamah patut mengeluarkan perintah untuk media dilarang daripada melaporkan bahagian-bahagian yang dipertikaikan dalam penyataan saksi Rizal yang dibacakan semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata, mahkamah perlu terlebih dahulu membuat keputusan sama ada bahagian-bahagian yang dipertikaikan dalam penyataan saksi itu boleh diterima atau tidak.

“Keterangan itu masih belum diuji untuk kebolehterimaan. Bahagian-bahagian (yang dipertikaikan) dalam penyataan saksi amat prejudis dan tidak sepatutnya diterbitkan kerana ia menjejaskan anak guam kami kerana ia secara terang-terangan adalah pembunuhan karakter,” katanya.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pula berkata, demi kepentingan keadilan, bahagian yang dipertikaikan dalam penyataan saksi itu tidak patut dilaporkan (oleh media) sehingga pada akhir kes.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun berkata, mahkamah tidak akan melarang media daripada membuat liputan mengenai keterangan Rizal dalam prosiding hari ini.

“Saya tidak mahu melarang media membuat laporan. Anda (pihak pembelaan) bebas untuk memeriksa balas saksi,” kata hakim sebelum mengarahkan Rizal meneruskan membaca penyataan saksinya setebal 46 muka surat.

Rosmah, 68, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dibicarakan atas satu pertuduhan menerima suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada bekas pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017. - Bernama