Ditipu RM634,400, jemaah haji nekad fail saman

Muhammad Radhi mengadakan sidang media bersama sebahagian 24 individu yang mendakwa telah ditipu oleh sebuah agensi syarikat pelancongan yang terlibat dalam pemalsuan visa Furada bagi menunaikan ibadah haji tahun lalu. - Foto Bernama
Muhammad Radhi mengadakan sidang media bersama sebahagian 24 individu yang mendakwa telah ditipu oleh sebuah agensi syarikat pelancongan yang terlibat dalam pemalsuan visa Furada bagi menunaikan ibadah haji tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 25 individu mengalami kerugian kira-kira RM634,400 dengan mendakwa telah ditipu oleh sebuah agensi syarikat pelancongan yang terlibat dalam pemalsuan visa Furada bagi menunaikan ibadah haji tahun lepas.

Mangsa, Muhammad Radhi Shariff Hussain, 56, salah seorang jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah pada 5 Ogos tahun lalu bersama-sama 24 jemaah lain, nekad memfailkan saman berikutan tiada tindakan yang diambil oleh syarikat berkenaan untuk memulangkan kembali sejumlah wang yang telah dibayar oleh mangsa.

"Sebelum ini, kami sudah pun beri peluang kepada syarikat berkenaan yang terletak di Kuala Lumpur untuk menjelaskan ganti rugi, namun mereka hanya memulangkan kembali ganti rugi dalam amaun yang sedikit sahaja. Selepas itu, tiada tindakan lanjut yang diambil oleh pihak pengurusan syarikat itu.

"Malah, ada yang terkesan dari segi emosi kerana kebanyakan mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang senang seperti pesara, nelayan dan pekerja kilang. Jadi, jumlah yang dibayar itu besar bagi mereka," katanya pada sidang media yang turut dihadiri 14 mangsa yang lain serta peguam di sini, hari ini.

Menurut beliau, pada hari kejadian (5 Ogos 2019), syarikat berkenaan tidak memaklumkan lebih awal bahawa penerbangan mereka ke Jeddah tidak diiringi atau diketuai oleh wakil mutawwif yang sah.

"Setelah tiba di lapangan terbang tersebut, kami gagal melepasi kaunter imigresen kerana setiap imbasan kod bar yang dibuat ke atas e-visa menunjukkan identiti individu berbeza daripada identiti sebenar," katanya yang merupakan pekerja swasta.

Muhammad Radhi berkata, beliau dan mangsa yang lain membuat laporan polis bagi menuntut ganti rugi dan keadilan buat mereka yang disifatkannya sebagai teraniaya.

"Apa yang kami kesalkan ialah pihak syarikat berkenaan langsung tidak menyelesaikan masalah yang kami hadapi walaupun insiden yang kami alami ini mendapat liputan meluas dalam media," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata antara tuntutan yang dikenakan ke atas syarikat berkenaan termasuk jumlah sebanyak RM634,400, ganti rugi khas, ganti rugi atas sebab memungkiri kewajipan berjaga-jaga, pengkomplotan dan atau kemungkiran representasi dan atau penipuan, ganti rugi am dan juga ganti rugi teladan.

"Selain itu, kami turut menuntut faedah kadar lima peratus setahun ke atas jumlah yang dihakimi yang dikira dari tarikh pemfailan writ sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos atas dasar peguam cara dan anak guam serta apa-apa relif lain yang mahkamah fikirkan wajar," katanya. - Bernama