Didik majikan hingga hujung tahun

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan menggunakan pendekatan secara mendidik terhadap majikan dalam pelbagai sektor sehingga penghujung tahun ini untuk mereka mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, sepanjang tempoh itu majikan yang ingkar tidak akan dikenakan denda namun berharap tiada yang akan mengambil kesempatan.

"Niat kita bukan nak denda majikan. Kalau asyik nak denda sahaja sebab tak patuh, akhirnya gagal usaha kita,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar ‘Labour Enrichment and Professionalism’ (LEAP) di sini semalam.

Akta itu yang dikuatkuasakan pada 1 September lepas bertujuan menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia meliputi piawaian ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan tempat penginapan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan termasuk pencegahan Covid-19.

Mengulas langkah kerajaan Singapura menawarkan insentif kepada majikan di negara itu agar menggaji pekerja tempatan dalam tempoh enam bulan akan datang, Saravanan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pentadbiran republik tersebut bagi memastikan nasib pekerja Malaysia di sana terbela.

Katanya, dianggarkan 300,000 hingga 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura pada masa ini.

"Saya percaya Singapura akan mengikut standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mana semua pekerja sama ada warga tempatan atau warga asing perlu diberikan layanan sama.

"Saya akan berbincang dengan pihak kerajaan Singapura untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung inisiatif tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin media melaporkan insiatif kerajaan Singapura itu adalah usaha negara berkenaan menggalakkan guna tenaga domestik ketika pandemik Covid-19 dan peruntukan berjumlah S$8 bilion (RM24.29 bilion) disediakan pada bulan lepas untuk tujuan tersebut.- Bernama