Lelaki Rohingya dipenjara kerana lindungi PATI

Ramzan Ali (dua dari kiri) diiringi Pegawai Imigresen keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas dijatuhkan hukuman hari ini.
Ramzan Ali (dua dari kiri) diiringi Pegawai Imigresen keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas dijatuhkan hukuman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki Rohingya terpaksa meringkuk dalam penjara apabila gagal melunaskan denda selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ramzan Ali Faizal Ahmad, 36, dihantar ke Penjara Pokok Sena di sini untuk menjalani hukuman penjara bermula hari ini akibat gagal menjelaskan denda sebanyak RM60,000.

Beliau didapati bersalah membawa tiga warga Myanmar dalam kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan menghala Bukit Kayu Hitam pada 5 November tahun lalu.

Terdahulu, Hakim Juraidah Abbas menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi setiap PATI yang dilindungi atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ramzan Ali yang bekerja menjual ayam mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Juraidah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Ramzan Ali yang merupakan pemegang kad UNCHR itu membawa kereta jenis Proton Wira berwarna biru dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pasukan penguat kuasa AKSEM Bukit Kayu Hitam pada jam 12.50 tengah hari.

Hasil siasatan lanjut mendapati tertuduh membawa tiga lelaki warga Myanmar yang tidak mempunyai sebarang pas dan permit sah dan melakukan kesalahan Imigresen.

Lelaki tersebut didakwa di bawah Seksyen 55E (1) kerana membenarkan mana-mana imigran haram untuk masuk atau tinggal di mana-mana premis yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan pasukan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terdiri daripada Zamri Jasmani, Saiful Pazli Che Pi, Yusmaleyza Yusuf dan Mohd Hamizan Agu Salim.