Mahkamah Rayuan tolak permohonan 33 ADUN Sabah

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (tengah) keluar dari Istana Kehakiman hari ini. - Foto Bernama
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (tengah) keluar dari Istana Kehakiman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim yang juga dianggotai Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Supang Lian, turut menolak permohonan 33 ADUN berkenaan bagi penangguhan pelaksanaan keputusan hari ini sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Berikutan keputusan itu, pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung seperti dijadual. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Sept bagi penamaan calon dan pengundian pada 26 September.

Kesemua 33 ADUN berkenaan, diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan mereka bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan yang dibuat Yang Dipertua Negeri pada 30 Julai.

Panel itu dalam keputusan sebulat suara, memutuskan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah melaksanakan bidang kuasanya dengan betul mengikut Perlembagaan Sabah dalam membubarkan DUN.

Hakim Abdul Karim berkata, panel berpendapat tiada kekhilafan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Leonard David Shim semasa beliau memutuskan kes itu tidak boleh diadili (bermaksud tidak boleh dibicarakan di mahkamah) dan dengan itu tidak terbuka untuk semakan kehakiman.

“Dengan semua kes undang-undang dibentangkan di hadapan kami, mahkamah berpandangan apabila membabitkan soal pembubaran dewan undangan negeri, mahkamah berada dalam kedudukan untuk tidak campur tangan dengan keputusan untuk membubarkan dewan undangan negeri.

“Kami dengan ini menolak rayuan dikemukakan 33 perayu dan mengesahkan keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman,” kata Hakim Abdul Karim.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah putuskan PRN Sabah diteruskan

Dalam reaksi segera, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili wakil rakyat berkenaan, membuat permohonan secara lisan bagi penangguhan pelaksanaan keputusan hari ini sementara menunggu permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh yang mewakili Tun Juhar, membantah permohonan penangguhan itu, menyatakan pada peringkat ini tiada keperluan menunggu sehingga rayuan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan, dan mereka perlu memohon penangguhan itu semasa memfailkan permohonan kebenaran.

Peguam Datuk Cyrus Das yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kerajaan negeri turut membantah permohonan penangguhan itu, menyatakan jentera pilihan raya telah mengambil setiap langkah untuk mengadakan pilihan raya yang membabitkan 30,000 petugas dan 73 pegawai pengurus pilihan raya.

Beliau berkata, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Sabah, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran dewan undangan negeri.

“Kita hanya mempunyai 72 jam bagi penamaan calon untuk pilihan raya negeri...dan saya fikir akan berlaku banyak gangguan di lapangan... dan lebih-lebih lagi individu yang mahu bertanding perlu tahu kedudukan mereka,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, yang mewakili SPR turut membantah permohonan penangguhan itu atas alasan jentera pilihan raya sudah bersedia dan penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.

Musa dan beberapa wakil rakyat yang lain hadir di mahkamah.

Mahkamah Tinggi semasa menolak permohonan 33 ADUN berkenaan pada 17 Ogos, memutuskan Mohd Shafie telah bertindak dalam ruang lingkup Perlembagaan Sabah semasa memohon Tun Juhar membubarkan DUN dan berkata pengisytiharan untuk membubarkan DUN adalah mengikut perlembagaan dan sah.

Dalam permohonan semakan kehakiman mereka, Musa dan ADUN yang menyokong beliau memohon perintah mahkamah bagi membatalkan permohonan Mohd Shafie kepada Tun Juhar untuk membubarkan DUN; membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN; dan membatalkan notis pewartaan kerajaan negeri Sabah berhubung pembubaran itu.

Kesemua 33 wakil rakyat itu mendakwa pada 29 Julai bahawa mereka mempunyai majoriti dalam DUN dan mahu Tun Juhar membenarkan mereka mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, sekali gus menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie.

Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna dan penyandang kerusi DUN Senallang, mendahului tindakan Musa itu dengan menasihatkan Tun Juhar untuk membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli, 60 dipilih dan lima dilantik. - Bernama