Amy dah kena tangkap!

Laporan Sinar Harian, 3 September lalu.
Laporan Sinar Harian, 3 September lalu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Suspek utama kes pergaduhan dua lelaki hingga menyebabkan seorang pemuda maut di Kampung Jolong di sini minggu lalu sudah diberkas polis bagi membantu siasatan.

Lelaki dikenali sebagai Amy, 30, itu ditahan di sebuah rumah di Pengkalan, Ipoh kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek yang bertindak hilangkan diri selepas kejadian cuba bersembunyi di kediaman saudaranya di Ipoh.

"Hasil maklumat dan siasatan, kita berjaya menjejaki suspek dan menahannya. Dengan penangkapan suspek, kita percaya akan dapat menyelesaikan siasatan kes ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Khaizam berkata, polis telah mendapatkan perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki, Mohd Izar Mohamad Anuar, 22, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas dua hari tidak sedarkan diri akibat dipukul.

Dalam kejadian 1 September lalu, mangsa dipanggil oleh suspek untuk datang ke lokasi kejadian disebabkan satu kes cemburu sebelum dipercayai dibelasah menggunakan sebatang kayu sehingga cedera parah pada muka dan kepala.

Susulan kejadian itu, tiga lelaki iaitu rakan kepada suspek masing-masing berusia 17, 20 dan 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari Amy!

Artikel Berkaitan: