Polis cari Amy!

Mohd Khaizam menunjukkan gambar suspek utama dikenali Amy (kiri) dan rakannya Zaim Manap yang masih dicari bagi membantu siasatan.
Mohd Khaizam menunjukkan gambar suspek utama dikenali Amy (kiri) dan rakannya Zaim Manap yang masih dicari bagi membantu siasatan.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang pemuda maut dalam pergaduhan yang didakwa angkara cemburu dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Jalong di sini, kira-kira jam 2.30 petang, Selasa lalu.

Mohd Izar Mohamad Anuar, 22, yang cedera parah dalam kejadian itu disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada jam 12.27 tengah malam tadi selepas dua hari tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, berdasarkan kesan kecederaan, mangsa dipercayai dibelasah menggunakan sebatang kayu berukuran kira-kira satu meter dan cedera teruk pada muka dan kepala.

Menurutnya, mengikut siasatan awal, mangsa dipanggil oleh seorang suspek utama yang berusia 30 tahun untuk datang ke lokasi kejadian disebabkan satu kes cemburu.

"Kedua-dua lelaki ini saling mengenali dan kemungkinan pergaduhan itu berlarutan hingga menyebabkan mangsa dipukul.

"Mangsa yang masih dalam keadaan sedar dihantar pulang oleh kenalannya sebelum abang mangsa membuat laporan polis pada hari kejadian," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Siput menjalankan siasatan dan menahan dua individu bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khaizam (tengah) pada sidang akhbar di IPD Sungai Siput hari ini.
Mohd Khaizam (tengah) pada sidang akhbar di IPD Sungai Siput hari ini.

Katanya, hasil soal siasat ke atas kedua-duanya yang masing-masing berusia 17 dan 22 tahun itu menemukan sebatang kayu berhampiran kediaman suspek yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

"Kedua-dua mereka kini direman selama lima hari bermula 1 September lalu di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan polis juga sedang mengesan seorang lagi rakan mereka dikenali sebagai Zaim Manap, 20, bagi membantu siasatan.

"Sehingga kini suspek utama kes ini dikenali sebagai Amy masih lagi bebas dan usaha mengesan sedang dijalankan. Kita yakin suspek tidak pergi jauh dan masih berada di kawasan sekitar.

"Semakan rekod mendapati, suspek mempunyai lapan rekod lampau dan baru sahaja seminggu dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah," katanya.

Mohd Khaizam berkata, kes itu yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kematian.

"Mengikut siasatan kita, pergaduhan itu hanya melibatkan dua orang bukan berkumpulan, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesahkan perkara berkenaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek utama dan rakannya diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial sejak semalam apabila ahli keluarga dan rakan terdekat mangsa memuat naik status di Facebook meminta orang ramai membantu mencari suspek utama kes berkenaan.