Ismailian anjur derma darah bantu tabung darah HRPZ II

Pelajar tidak melepaskan peluang menderma darah Program Derma Darah Perdana Ismailian dengan kerja sama Unit Tingkatan Enam Penuntut-Penuntut Maktab Sultan Ismail hari ini.
Pelajar tidak melepaskan peluang menderma darah Program Derma Darah Perdana Ismailian dengan kerja sama Unit Tingkatan Enam Penuntut-Penuntut Maktab Sultan Ismail hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Buat julung kalinya, Persatuan Alumni SIC (Ismailian) dengan kerja sama Unit Tingkatan Enam Penuntut-Penuntut Maktab Sultan Ismail menganjurkan Program Derma Darah Perdana yang diadakan di pekarangan sekolah tersebut kelmarin.

Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri itu turut melibatkan pameran dan ceramah kepada kumpulan sasaran terutama golongan remaja.

Setiausaha Ismailian, Abd Aziz Abd Rahim berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada golongan remaja untuk menjaga kesihatan dan membantu tabung darah negara.

“Seramai 53 pelajar dan tujuh guru menderma darah dan 240 pelajar dari semua tingkatan menghadiri pameran dan mendengar ceramah yang disampaikan pihak Bahagian Pendidikan Jabatan Kesihatan.

“Program ini akan menjadi acara tahunan sekolah dan secara tidak langsung dapat menolong pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II menambah simpanan tabung darah yang amat diperlukan ketika kecemasan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ahmad Razin (kanan) meluangkan masa melihat proses derma darah dilakukan di Maktab Sultan Ismail di sini.
Ahmad Razin (kanan) meluangkan masa melihat proses derma darah dilakukan di Maktab Sultan Ismail di sini.

Hadir sama, bekas Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan merangkap Presiden Ismailian, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Pengetua Maktab Sultan Ismail, Raja Azman Raja Ibrahim.

Mengulas mengenai Ismailian, Abd Aziz memberitahu, penubuhan Ismailian bertujuan menyatukan bekas penuntut dan merapatkan hubungan dengan aktiviti maktab.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada masa yang sama, pihak mereka juga sentiasa bekerjasama dalam apa juga program untuk memaju kedudukan ahli selain memberi bantuan moral, kewangan dan bimbingan kepada penuntut dan bekas pelajar.

“Ismailian juga mempunyai Tabung Amanah Ismailian untuk menjaga kebajikan penuntut dan bekas penuntut maktab. Aktiviti begini mengukuhkan lagi hubungan ini walaupun masing-masing sudah meninggalkan sekolah lebih 30 tahun dahulu,” katanya.

Untuk rekod, Ismailian telah menyumbangkan zakat kepada pelajar miskin berjumlah RM 114,800 sehingga tahun 2019 melibatkan 1,148 penerima.

Abd Aziz memberitahu, pendidikan menjadi fokus utama Ismailian dalam setiap bantuan yang dihulurkan dan pihaknya juga telah menganjurkan kelas-kelas tuisyen kepada mereka yang memerlukan.