SPRM perlu perjelas isu nepotisme libatkan timbalan menteri PN

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjelaskan tindakan yang akan diambil ke atas timbalan menteri yang melantik ahli keluarga sebagai penjawat awam dalam pejabat sendiri.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki perlu menjelaskan sama ada ia kesalahan rasuah atau sebaliknya.

Menurutnya, sebelum ini, Azam dilihat 'buat tidak tahu' terhadap kes surat sokongan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang mengesyorkan anak sendiri sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Guan Eng berkata, terbaru timbul dakwaan mengenai seorang lagi timbalan menteri yang melantik adik dan ahli keluarga sebagai penjawat awam dalam pejabatnya.

"Semua ini boleh berlaku kerana kegagalan Azam mengambil tindakan ke atas mereka yang menggunakan jawatan awam untuk kepentingan peribadi, yang merupakan satu ramuan toksid (toxic cocktail) penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan rasuah, yang kian menular dalam kerajaan Perikatan Nasional.

"SPRM menyatakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi ahli politik, timbalan menteri atau menteri mengeluarkan surat sokongan. Bagaimanapun, beliau harus menjelaskan sama ada surat sokongan oleh Ikmal Hisham yang mengesyorkan anak sendiri sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga merupakan satu kesalahan rasuah," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan mendakwa tindakan yang dilakukan Ikhmal Hisham merupakan penyalahgunaan jawatan susulan surat sokongan tersebut telah ditarik semula.

"Ikmal Hisham telah mengeluarkan surat sokongan untuk lantik anaknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga pada 5 Jun lalu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri. Ismail meminitkan dalam surat tersebut 'setuju' melantik anak Ikmal kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT), yang berada di bawah naungan Kementerian Pertahanan.

"LTAT ialah pemegang saham utama Pharmaniaga. Jelas di sini, Ikhmal Hisham telah menyalahgunakan kuasa untuk memanfaatkan anaknya. Ikmal Hisham juga mengakui beliau bersalah kerana menulis surat sokongan itu dan akan menarik balik. Namun, nasi sudah jadi bubur dan kesalahan itu perlu dikenakan tindakan oleh SPRM," katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan sama ada SPRM di bawah pimpinan Azam akan mengambil tindakan ke atas kes terbaharu melibatkan seorang timbalan menteri atau sekadar 'buat tidak tahu'?"Adakah Azam akan menyiasat kes baru ini atau beliau juga akan buat tidak tahu seperti kes Ikhmal Hisham?"Jangan biarkan slogan SPRM 'adil tegas amanah' hanya kata-kata kosong sahaja dan akan digantikan dengan persepsi 'antara dua darjat’ atau "double-standard' di antara VIP dan rakyat biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:


Terdahulu, tular salinan surat sokongan yang ditulis oleh Ikmal Hisham dikatakan meminta anaknya, Ikmal Hazlan Ikmail Hisham dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Surat berkenaan yang ditujukan kepada Ismail mengandungi nota sokongan Ismail kepada Pengerusi LTAT yang mengatakan beliau bersetuju dengan cadangan itu.

Menurut laporan media tempatan, syarikat farmasi itu mempunyai beberapa kekosongan jawatan dalam lembaga pengarahnya berikutan persaraan tiga ahlinya baru-baru ini.