[VIDEO] Bermula 1 Jun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dibatalkan, ia menimbulkan persepsi harga barangakan turun?

1 Jun 2018 ialah hari keramat untuk seluruh rakyat Malaysia. Mungkin timbul sedikit masalah pelarasan sekiranya harga barangan kekal tapi sekurang-kurangnya rakyat jimat cukai enam peratus ini,  jadi itu adalah penjimatan secara asas.

Kita harap harga barang akan turun perlahan-lahan kerana biasanya sebarang kesan memerlukan masa untuk ada impak, itulah sebabnya dari segi pelarasan kita mungkin kena ada sedikit masa tetapi secara asas kita akan jimatkan enam peratus daripada pemansuhan GST.

Di samping itu tiga langkah yang kerajaan persekutuan telah ambil dengan mengembalikan RM20.7 bilion kepada pasaran. Melalui GST rakyat dapat jimat RM17 bilion kerana inilah cukai yang kita boleh kutip daripada rakyat tetapi kita tidak kutip sebaliknya kembalikan kepada rakyat.

Tambahan pula subsidi minyak kita kekal pada RM2.20 untuk Ron 95 dan RM2.18 bagi diesel dan kita akan belanjakan RM3 bilion untuk subsidi seperti mana kita janji kita akan stabilkan harga minyak.

Sekarang harga minyak telah naik, sekiranya kita tidak berikan subsidi ia akan naik kira-kira 30 sen,  itu kita telah jimatkan wang  rakyat, bonus raya kepada rakyat RM400 untuk penjawat awam Gred 41 ke bawah ini melibatkan perbelanjaan RM700 juta jadi semua sekali kita lihat RM20.7 bilion telah pun dikembalikan  kepada rakyat kita harap dapat cergaskan ekonomi.

Siaran Piala Dunia menelan belanja RM30 juta, adakah membazir?

Sebenarnya RM30 juta ini ditaja oleh syarikat-syarikat dalam bentuk iklan dan juga syarikat-syarikat pengiklanan ini akan memaparkan iklan mereka sepanjang tayangan Piala Dunia nanti.

RM30 juta itu datangnya daripada syarikat-syarikat penaja menerusi iklan, ia bukannya datang daripada dana kerajaan persekutuan.

Kita ada dengar serangan daripada parti pembangkang itu sebabnya kita jawab, jangan bimbang ini datang syarikat dalam bentuk iklan dan wang ini dapat balik.

Ketika menerajui Pulau Pinang,  YB telah membuktikan kejayaan pentadbiran dengan telus dan mendatangkan hasil yang baik, apakah cara di Pulau Pinang boleh dipraktikkan apabila mengendalikan kewangan negara?

Saya rasa yang kita hendak ialah tatakelola kerajaan yang baik, ini akan berteraskan urus tadbir CAT (cekap, akauntabiliti dan telus) yang diamalkan di Pulau Pinang sejak 10 tahun dulu.

Memang kita boleh lihat impak CAT dalam bentuk keadaan kewangan yang kukuh dan sihat, kita akan cuba terapkan nilai-nilai itu dalam pentadbiran kewangan peringkat Persekutuan tetapi dari segi skalanya dan saiznya amat berbeza. Kalau kita sebut tentang kewangan di Pulau Pinang hampir RM1 bilion tapi untuk peringkat kerajaan Persekutuan,belanjawan RM270 bilion ini 270 kali ganda lebih besar. Dalam aspek ini tentu kita boleh gunakan prinsip yang sama, kita boleh gunakan sistem yang sama tetapi ini kena sesuaikan untuk skala yang besar.  Tentunya sebagai kerajaan pusat seperti ini kita perlu buat penyesuaian kerana ada keadaan spesifik untuk sesuatu industri atau kementerian yang khusus.  Di Pulau Pinang kita tidak ada kesihatan dan pendidikan kerana ini bukan bidang kuasa kerajaan negeri.

Kerajaan Harapan baharu mula ambil alih, tetapi dikejutkan dengan jumlah hutang yang besar, apakah kaedah untuk uruskan hutang?

Saya selalu pegang prinsip bahawa kita harus bercakap benar termasuk dengan pihak pasaran modal, kita tak harus sorok-sorok angka-angka. Sungguhpun ia mungkin tidak berapa menyenangkan hati kita tak boleh sorok-sorok yang paling baik ialah cakap benar, berani kerana benar, takut kerana salah.

Saya rasa ini harus diamalkan dalam semua aspek sekiranya ada saya percaya ini hanya untuk sementara waktu kerana akhirnya apabila pelabur, mereka datang ke sesebuah negara berdasarkan fakta dan angka-angka yang mereka peroleh. Mereka tidak mahu juga ditipu ataupun diberikan gambaran palsu.

Saya yakin akhirnya mereka akan rasa ini adalah pilihan yang baik kerana di Malaysia kita adakan sistem telus iaitu kita ada penyata kewangan secara terbuka ‘open book’ apa yang anda lihat adalah keadaan sebenar, bukan disorak-sorok seperti mana yang kita kesan dalam hutang. Ya,  hutang itu buat  kita terkejut, apabila mengetahui  pihak kerajaan yang bayar bagi pihak 1MDB, tapi akhirnya kita dapati bahawa yang bayar bukan 1MDB, 1MDB idak bayar satu sen pun sebaliknya kerajaan iaitu rakyat Malaysia bayar untuk syarikat 1MDB yang merupakan skandal paling besar di dunia.

Sebenarnya, RM7 bilion kita telah  bayar dan yang lebih menyedihkan ialah kita kena bayar RM38 bilion lagi sampai 2039 dan ini pun tidak ambil kira faedah. Oleh itu,  kita boleh lihat betapa besar kerugian dan kehilangan sumber pendapatan rakyat.

Tolong bayangkan sekiranya wang ini boleh dilaburkan digunakan untuk rakyat bukankah kita boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah kita tapi semua kerana rasuah ia telah diambil keluar dan ini mempunyai impak negatif yang besar ke atas keadaan ekonomi kita.

Ini saya terus terang itu sebab kita terpaksa ambil langkah-langkah untuk mengurangkan impak negatif. Kita telah guna  langkah-langkah tebatan kewangan ataupun langkah-langkah pencegahan ini yang merangkumi pendapatan, perbelanjaan dan juga produktiviti.

Saya lihat dalam aspek itu, Kementerian Kewangan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu aspek pusat perbelanjaan, pentadbiran dan  produktiviti yang boleh menjanakan pendapatan untuk masa depan.

Tetapi buat masa ini Kementerian Kewangan lebih kepada fungsi sebagai  pusat perbelanjaan kerana kita nak kurangkan kos luar biasa, kos luar jangkaan, kos lebihan yang tidak harus ditanggung oleh kerajaan Persekutuan dan di samping itu kita kena lihat bagaimana kita boleh tambah sumber pendapatan.

Di sini saya rasa sungguhpun kita berterus-terang kita bercakap benar ada beberapa kritikan bahawa kadangkala janganlah cakap terlalu benar atau terlalu berterus terang, saya minta maaf saya kurang bersetuju dengan pandangan sedemikian kerana saya rasa sekiranya kita berikan kebenaran seperti mana yang dibuktikan dengan fakta dan angka-angka itu barulah boleh memulihkan keyakinan bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tapi akhirnya di kalangan pelabur-pelabur dan juga dana-dana dari luar negara.

**DAPATKAN AKHBAR SINAR HARIAN UNTUK LAPORAN PENUH