PENYERANG Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil masih dahagakan kejayaan walaupun berjaya mendakap tiga piala pada saingan musim lalu.

Terkenal dengan jolokan Zidane, dia bertekad mencipta sejarah mencipta treble untuk KLHC sekali gus muncul kelab hoki pertama negara ini mempertahankan gelaran menjelang kempen Liga Hoki TNB-MHL 2012/13.

"Saya masih belum puas mengecap kejayaan walaupun pada musim lalu, kami menyapu kesemua piala ditawarkan (Piala Sumbangsih, Piala Liga dan Piala TNB).

"Namun harus diingat, pentas tahun ini lebih mencabar dengan saingan yang singkat. Ini bermakna kami tidak boleh berpuas hati dengan setiap perlawanan," katanya.

Tengku Ahmad Tajuddin juga gembira mewakili kelab KLHC yang memberikan kepuasan kerana pemain sentiasa diberikan motivasi.

"Bukan itu sahaja, pengurusan kelab menjaga kami begitu baik bagi meneruskan misi memburu kemenangan," katanya yang mengumpul 160 cap antarabangsa sejak penampilan sulung di Kakamighara,Jepun pada 2005.

KLHC bakal memulakan ujian pertama berdepan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.