KETUA jurulatih Perlis, Yusri Che Lah mengumumkan meletakkan jawatan selepas berjaya membawa pasukan itu kembali ke Liga Premier pada musim hadapan apabila muncul naib juara Liga FAM 2015.

Katanya, secara dasarnya kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) telah tamat selepas perlawanan akhir Liga FAM dan pengumuman meletakkan jawatan dibuat bagi memberi ruang kepada semua pihak untuk membuat perancangan dengan lebih baik bagi musim 2016.

"Pengumuman ini hanya proses biasa dan tidak ada rasa tidak puas hati dengan majikan saya, PFA sebelum ini. Mereka telahpun melayan saya dengan baik cuma saya fikir mahu berhijrah jika mendapat tawaran daripada pasukan lain.

"Selepas berjaya membantu Singa Utara kembali ke Liga Premier musim depan, saya terdetik mahu cuba melakarkan kejayaan bersama pasukan lain pula jika ada pasukan yang mahukan khidmat saya," katanya kepada Sinar Harian.