PERAK mengesahkan aksi di pentas final Unifi Piala Malaysia 2018 biarpun sekadar terikat 2-2  ketika berdepan Sabah pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Keputusan berkenaan berkenaan sekali gus menyaksikan Perak layak ke pentas final dengan aggregat 7-2, hasil kemenangan 5-0 di Stadium Perak pada aksi separuh akhir pertama, lalu.

Kedua-dua pasukan bermula baik sejak wisel permulaan bagi membuka jaringan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan ke gawang lawan masing-masing.

Bagaimanapun, hasil satu sepakan sudut, pemain Sabah Sabri Sahar bijak memanfaatkan peluang di depan gawang Perak untuk menguis masuk gol pembukaan pada minit ke-35.

Gol berkenaan mula menyemarakkan semangat kesebelasan Sabah untuk terus mengasak ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.

Namun, asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain  berjaya dikekang benteng pertahanan Perak hingga ke tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Perak dilihat mula menggandakan asakan ke gawang Sabah bagi meledak jaringan.

Semua asakan berkenaan akhirnya menyaksikan Perak mendapat sepakan penalti apabila Ahmad Khairil Anuar dijatuhkan dalam kotak penalti.

Peluang berkenaan nyata tidak dipersia-siakan penyerang Perak, Gilmar da Silva untuk meledak gol penyamaan pada minit ke-75.

Perak terus mengasak hebat ke gawang tuan rumah dan menyaksikan Gilmar sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-80.

Ketinggalan dua gol bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan Sabah untuk terus mengasak ke gawang Perak dan  akhirnya kapten, Rawilson Batuil berjaya menyamakan gol kedua  pada minit ke-85.

Biarpun Sabah dilihat semakin menggandakan asakan untuk menambah jaringan di penghujung perlawanan, namun tetap gagal menembusi benteng pertahanan Perak  sehingga ke wisel penamat.

SABAH – Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil (kapten), Dendy Lowa, Francis Kasonde, Odolius Paijnovic, Maxius Musa, Elias Sulaiman, Jenius Karib, Nicco Nigel Milus, Sabri Sahar, Rahman Shah

PERAK – Muhammad Hafizul Hakim, Shahrul Mohd Saad (kapten), Idris Ahmad, Nazirul Naim che Hashim, Muhammad Firdaus Saiyyadi, Leandro Dos Santos, Brendan Gan, Ahmad Khairil Anuar Zamri,Wander Luiz, Gilmar da Silva

Pengadil – Suhaizi Shukri