PERAK memburu tiga pemain import baharu bagi melengkapkan kuota lima pemain import yang dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dan sekali gus melengkapkan senarai  25 pemain bagi skuad The Bos Gaurus itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, tiga pemain import berkenaan sedang dikenal pasti dan diteliti ketua jurulatih, Mehmet Durakovic sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagaimanapun menurut Abdul Puhat, sebarang perkembangan (pengambilan pemain import) akan dimaklumkan kemudian.

“Kita akan menambah kuota tiga pemain import bagi melengkapkan senarai 25 pemain bagi musim 2018 kelak.

“Kita juga sedang mengkaji kemampuan dan kelayakan beberapa pemain tempatan khususnya dariapda pasukan Piala Presiden untuk mengisi lima lagi tempat untuk ke pasukan Liga Super,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini

Perak mengekalkan 14 pemain musim lalu (termasuk dua pemain import) melibatkan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Khairul Amri Salehuddin, Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Mohamad Idris Ahmad, Nazirul Naim Che Hashim, Mohamad Nasir Basharuddin, Kenny Pallraj, Ahmad Kharil Anuar Ahmad Zamri, Mohd Hafiz Kamal, Mohd Nizad Ayub, Mohd Nazrin Nawi, Gilmar da Silva dan Leandro Dos Santos.

Untuk musim 2018, Perak membawa masuk Brendan Gan, Nor Hakim Hassan, Muhammad Syazwan Zaipol Bahari, Rafiuddin Rodin, Muhammad Rizal Che Aziz, Muhammad Rafiq Faeez Muhammad Fuad, Khairul Asyraf Sahizah dan Muhammad Nasrullah Abdul Aziz.

Sementara itu Abdul Puhat berkata, Perak menyasarkan untuk membawa pulang satu piala musim 2018 dan menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan tiga pasukan terbaik.

“Musim lalu (2017), kita berjaya ke separuh akhir. Kali ini kita sasarkan untuk mara hingga ke final dan seterusnya muncul juara pula,” katanya.