SEMANGAT baharu dengan penjenamaan semula benar-benar ditagih untuk mengilhamkan kejayaan Selangor United FC apabila menghadapi saingan Liga FAM 2018, Mac ini dan Piala FA, bulan depan.

Menceburi kancah Liga FAM 2016 di bawah nama Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) FC  sebelum berubah kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) FC pada musim berikutnya, pencapaian mereka hanyalah peringkat Kumpulan B dan pusingan kedua Piala FA 2017.

Mereka terlepas slot suku akhir Liga FAM kedua-dua musim itu manakala penampilan sulung Piala FA, tahun lalu menyaksikan PBMS FC disekat Perak 3-0 selepas mengatasi SAMB FC 1-0 dalam pusingan pertama.

Kini bergelar Selangor United FC, kelab bimbingan bekas pemenang Piala Malaysia empat kali, Talib Sulaiman ini pastinya meletakkan sasaran memperbaiki pencapaian musim 2017 hasil persiapan rapi sejak Disember lalu.

Presiden kelab, Mohd Firdaus Mohamed berkata, skuad musim ini mengekalkan 11 tonggak musim lalu atau 40 peratus untuk digandingkan dengan muka-muka baharu yang diperoleh daripada ujian pemilihan yang dikendalikan jurulatih dan ahli panel PBMS.