JODOH Velizar Popov bersama Kelantan menemui noktah lebih awal apabila pengendali kelahiran Bulgaria itu memutuskan tidak menyambung kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), selepas hanya melatih skuad pantai timur itu selama lima bulan.

Popov dipetik menerusi laman sosialnya semalam, mengakui kegagalan Kafa menawarkan kontrak baharu susulan masalah kewangan yang melanda persatuan itu menyebabkan dia mengambil keputusan meninggalkan pasukan bekas juara tiga piala musim 2012 itu.

“Malangnya, selepas sebulan mengadakan perbincangan positif dan bercakap soal perancangan musim 2017 serta kemungkinan kontrak saya (akan) dilanjutkan, (namun) masih belum ada perjanjian (ditawarkan) kerana pasukan berdepan masalah kewangan.

“Tanpa jaminan kewangan, agak mustahil untuk merangka dan melaksana perancangan masa depan. Kesabaran sangat penting, tetapi saya seorang jurulatih profesional, mengikut prinsip asas cara saya bekerja dan tidak akan merendahkan standard semata-mata kerana perlu menampung (beban kewangan) pasukan,” katanya.

Sinar Harian pada 27 September lalu melaporkan, Kafa mengumumkan jurulatih yang terkenal dengan imej garang dan bengis itu diberi kepercayaan sekali lagi mengemudi Kelantan, pada musim depan.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Maldives itu menyertai Kelantan pada pertengahan musim ini menggantikan K Devan yang meninggalkan pasukan itu susulan prestasi terumbang-ambing dalam saingan Liga-Malaysia musim ini.

Sepanjang di bawah kendaliannya, Kelantan merakamkan lapan kemenangan, lima seri serta enam kali kalah dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia, dengan aksi terakhir perlawanan liga bertemu Perak di Kota Bharu, malam ini.

Keputusan tersebut dianggap sukar buat pengendali berusia 40 tahun itu apatah lagi dia sebelum ini sudah beberapa kali menunjukkan minat untuk terus kekal bersama pasukan itu bagi mengharungi saingan musim depan.

“Sudah pasti saya gembira dan berharap suatu hari nanti diberi peluang untuk kembali berkhidmat dengan Kelantan, tetapi dengan terma-terma dan syarat yang lebih bagus lagi,” katanya menerusi entri berkenaan.

Dalam masa sama, Popov turut merakamkan penghargaan kepada semua pemain dan pegawai di atas kerjasama mereka, selain penyokong setia The Red Warriors (TRW), bukan sahaja di Kelantan tetapi di seluruh negara.

“Penemuan paling besar musim ini bukan sahaja pemain muda seperti Mohd Qayyum (Marjoni Sabil) dan Mohd Faris (Shah Rosli) tetapi juga pemain veteran seperti Indra (Putra Mahayuddin), Piya (Mohd Badhri Radzi) dan Norhafiz (Zamani Misbah) boleh bermain di tahap tertinggi walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Saya berterima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) kerana memberi peluang kepada saya untuk bekerja dengan TRW dan menjadi sebahagian daripada kemajuan pasukan ini,” katanya.