PENGORBANAN untuk meninggalkan keluarga selama dua bulan bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 jelas membuahkan hasil buat Mohd Hisham Khaironi apabila memenangi pingat emas acara merejam lembing lelaki F12/13 (masalah penglihatan) hari ini.

“Pengorbanan besar yang saya lakukan apabila terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak selama dua bulan bagi mempersiapkan diri menghadapi APG KL2017 selepas anak kelima, Ahmad Fawwas dilahirkan ternyata berbaloi,” katanya kepada Bernama.   

Mohd Hisham, 38, menganggap kejayaan meraih emas adalah rezeki bagi kelahiran anak lelakinya itu, yang kini berusia dua bulan, kerana ia membakar semangat beliau untuk meraih emas ketiga beliau pada temasya APG, apatah lagi kali ini ia berlangsung di laman sendiri.

Rejaman ketiga dilakukan anak jati Bangi itu sejauh 49.98m sudah cukup menghadiahkan emas buat kontinjen negara pada hari keempat acara olahraga di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus mengetepikan cabaran atlet Thailand, Juntinmatorn Wasun yang meraih perak (46.39m) dalam saingan tiga peserta itu.

Beliau sebelum ini meraih emas pertama acara itu di Manila, Filipina pada 2005, diikuti  Singapura pada edisi lalu.

“Saya bersyukur dapat mengulangi pencapaian di Manila dan Singapura dan kejayaan ini saya dedikasikan khas untuk keluarga saya,” katanya.

Beliau yang merupakan guru Pendidikan Islam dan Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik di Alor Setar, berazam untuk mencipta emas ketiga berturut-turut acara berkenaan di Filipina pada 2019 walaupun usianya bakal mencecah 40 tahun ketika itu.

Pemenang pingat emas acara 100m dan perak acara 200m F12 di Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou itu berkata usia bukan penghalang kerana percaya masih lagi mempunyai kudrat untuk mengharumkan nama negara pada kejohanan atau temasya sukan disertainya.

“Selain merejam lembing, saya juga sertai acara pecut sejak pertama kali mewakili negara pada 1994 namun saya akui tidak mempunyai larian pantas sejak beberapa tahun lepas…itulah sebabnya saya sertai satu acara sahaja,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau melakukan rejaman walaupun menghadapi masalah penglihatan, beliau yang disahkan rabun jauh selepas demam panas pada usia 10 tahun menjelaskan terdapat ‘check-point’ di sebelah kanannya yang merupakan panduan bagi beliau untuk melakukan rejaman.

“Saya tidak boleh pandang ke depan untuk melakukan rejaman kerana rabun jauh namun check-point di garisan kanan membantu saya untuk melakukan rejaman,” katanya yang meminati sukan olahraga sejak kecil lagi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMAIN tenis berkerusi roda negara, Abu Samah Borhan bersedia untuk menghadapi dua saingan akhir acara tenis berkerusi roda lelaki temasya Sukan Para Asean kesembilan (APG) esok.
  • SKUAD renang para negara hanya menambah dua emas pada hari ketiga Sukan Para Asean Kuala Lumpur menerusi Fredden Dawan dan James Wong pada aksi di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.
  • KONTINJEN negara beraksi hambar apabila hanya meraih empat pingat perak dan dua gangsa pada hari pertama acara renang Sukan Para Asean ke-9 (APG) Kuala Lumpur 2017 yang menawarkan 84 pingat emas keseluruhannya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.