KUALA LUMPUR - Sebanyak 24 pasukan termasuk tiga wakil baharu dari Afrika Selatan, Singapura dan New Zealand akan menyertai Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Bawah 17 Tahun Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak, dari 28 Februari hingga 2 Mac ini.

Pengarah kejohanan Amirul Hazarin Hamidon berkata, tiga pasukan baharu itu ialah Trafalgar High School (Afrika Selatan), Singapore International College dan Scots College dari New Zealand.

Edisi keempat kejohanan itu turut disertai oleh tiga pasukan antarabangsa iaitu Kolej Vajiravudh (Thailand), Sekolah Sukan Hong Kong dan Kolej Sultan Omar Ali Saifuddin dari Brunei.

Kejohanan tiga hari itu, anjuran bersama MCKK dan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Melayu (MCOBA) akan berlangsung di Padang MCKK, Kuala Kangsar.

Amirul Hazarin, yang juga ahli jawatankuasa All Blacks Revival (ABR) MCOBA, berkata beliau optimis pasukan MCKK mampu mempertahankan kejuaraan kategori Piala Saingan Utama (Divisyen 1).

Bagaimanapun, beliau menjangka saingan sengit daripada pasukan New Zealand dan Hong Kong serta juara edisi 2011 dan 2012, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan penajaan kejohanan yang disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Bangunan MCOBA di sini hari ini.

ABR merupakan jawatankuasa rasmi MCOBA dengan misi untuk memulih dan mengekalkan kualiti tinggi sukan itu di matktab tersebut.   

Amirul Hazarin berkata pasukan MCKK, dibawah bimbingan bekas pemain antarabangsa Fiji, Usaia Biumaiwai, telah membuat persediaan awal sejak April tahun lepas termasuk mengadakan perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Khairy berkata pihak kementerian akan memberikan tumpuan khusus untuk pembangunan sukan ragbi di peringkat sekolah dan juga universiti dalam usaha melahirkan bakat-bakat baharu.

Senarai 24 pasukan:
    -------------------
Perlis: Sekolah Menengah (SM) Vokasional Arau; SM Sultan Abdul Halim.
Kedah: SM Sains Pokok Sena
Perak: MCKK, Sekolah Tuanku Abdul Rahman
Selangor: SM Sains Hulu Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)   Taman Kosas
Kuala Lumpur: Victoria Institution (VI), SM Sains Selangor
Putrajaya: Sekolah Sultan Alam Shah
Negeri Sembilan: Sekolah Dato' Abdul Razak
Melaka: Kolej Yayasan Saad
Johor: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail
Pahang: Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan
Terengganu: SM Sains Sultan Mahmud
Kelantan: SMK Sultan Yahya Petra I
Sabah: SMK Sandakan
Sarawak: SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab
Thailand: Kolej Vajiravudh College
Hong Kong: Sekolah Sukan Hong Kong
Brunei: Kolej Sultan Omar Ali Saifuddin College
Afrika Selatan: Trafalgar High School
Singapura: Singapore International College
New Zealand: Scots College

- Bernama