HARI kedua Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s menyaksikan pasukan pilihan dari Afrika Selatan, Trafalgar High School terpaksa akur dengan kehebatan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) dari Johor apabila pasukan dari selatan tanah air itu menang dengan keputusan 17-5, lapor RIDAUDDIN DAUD.

Cerita duka pasukan dari benua Afrika itu bermula apabila mereka seri 17-17 dengan pasukan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud dari Terengganu.

Lain-lain keputusan menyaksikan laluan Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk mara ke final semakin terbuka apabila mereka mempamerkan prestasi mantap dengan menang kedua-dua perlawanan, semalam.

SSTMI juga berada dalam prestasi terbaik apabila mengungguli Kumpulan D dengan mencatatkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.

Manakala, pasukan dari New Zealand, Scots College tidak menghadapi masalah untuk menerajui Kumpulan C dengan merekodkan tiga kemenangan apabila mudah menewaskan lawannya dalam kumpulan sama.

Perlawanan suku akhir Cup/Plate pada hari ini akan menemukan Scots College dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Perta 1, Kelantan manakala MCKK akan bertemu Sekolah Datuk Abdul Razak dari Negeri Sembilan.

Dua lagi perlawanan menemukan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak dengan Hong Kong Sports School dan Victoria Institution, Kuala Lumpur berdepan laluan getir apabila dijadual bertemu SSTMI, Johor.

Perlawanan bermula seawal jam 8.00 pagi pada hari Ahad dan penentuan juara kejohanan dijangka dapat diketahui pada sebelah petang.