JURULATIH Kelantan, Zahasmi Ismail menyifatkan sepakan penalti yang diperoleh Johor Darul Ta’zim (JDT) membunuh semangat pemain sehingga menyaksikan pasukannya tewas 2-3 pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Zahasmi bagaimanapun menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan tidak mahu menuding jari terhadap pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin yang memberikan sepakan penalti tersebut kepada skuad Harimau Selatan, pada minit ke-29.

“Itu keputusan pengadil, walaupun saya rasa tidak sepatutnya berlaku (memberikan sepakan penalti) kerana bola itu sudah keluar. Sekalipun dia (Gonzalo Cabrera) mendapat bola tetapi apa keadaan sekali pun saya fikir (peluang untuk menjaringkan) gol tidak akan terhasil.

“Mungkin berpunca sepakan penalti itulah menyebabkan moral pemain merudum tetapi seperti saya beritahu, itu adalah keputusan pengadil dan saya tidak boleh bercakap apa-apa mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan.

Pada pertemuan itu, Kelantan bermula garang apabila selesa mendahului 2-0 menerusi dua gol sumbangan Mohammed Ghaddar pada minit kelima dan 16, tetapi Syafiq Rahim memadamkan defisit jaringan tersebut, empat minit kemudian.

Malapetaka menimpa tuan rumah pada minit ke-29 apabila pengadil memberikan sepakan penalti setelah Gonzalo Cabrera dijatuhkan Mamadou Danso di dalam kotak penalti dan Gabriel Guerra tenang menyempurnakannya sebelum Cabrera meledak gol kemenangan, seminit selepas itu.

Ternyata, mutu pengadilan pengadil dari Pulau Pinang itu tidak disenangi sehingga terbawa-bawa kepada insiden bantahan melibatkan seramai 200 penyokong Kelantan yang berkumpul di pekarangan stadium, sebaik permainan berakhir.

Mengulas lanjut, pengendali berusia 51 tahun itu tidak menolak akan meneliti semula rakaman perlawanan membabitkan insiden sepakan penalti tersebut dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan susulan.

“Apa pun, keputusan (kekalahan 2-3) sudah berlalu. Mungkin apa yang berlaku kepada kita malam ini (kelmarin) menjadi pengajaran untuk menghadapi perlawanan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Zahasmi memberitahu, dia tetap berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya walaupun terpaksa akur dengan kekalahan kelima pasukannya di laman sendiri.

“Kita mendominasi babak pertama dan kedua tetapi hanya kesilapan pemain sendiri memberikan tiga gol buat lawan. Bagi saya, JDT lebih bernasib baik, rezeki tidak menyebelahi kita walaupun pemain sudah mencuba yang terbaik bermula minit pertama sehingga minit-minit akhir permainan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENYERANG baharu Kelantan, Syafiq Shaharuddin berikrar mempamerkan prestasi terbaik untuk merebut tempat dalam pasukan itu, pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.
  • PELUANG beraksi pada Piala Super Boost SportsFix, Januari depan, bakal dimanfaatkan sepenuhnya Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.
  • “JIKA anda fikir tidak mahu menjadi juara, lebih baik berhenti bermain bola sepak” Itu komen pemain import baharu The Red Warriors (TRW), Cassio Francisco de Jesus.
  • MOHD Norfarhan Muhammad mahu menjadikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 sebagai pentas terbaik untuk kembali membuat penampilan semula lebih agresif bersama The Red Warriors (TRW).
  • KELANTAN yang digembar-gemburkan bakal melakukan rombakan besar sebaliknya memilih untuk mengekalkan 60 peratus muka lama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang semakin kompetitif pada musim depan.