PELUMBA Ducati, Andrea Dovizioso menamatkan musim 2018 dengan kenangan manis selepas menjuarai perlumbaan terakhir di Valencia.

Dalam perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca hujan itu, Dovizioso mencatat masa 2.7 saat lebih pantas berbanding Alex Rins dan Pol Espargaro yang berada di tempat kedua dan ketiga.

Perlumbaan di litar basah Valencia itu bagaimanapun dicemari dengan insiden beberapa pelumba terbabas dan gagal menamatkan perlumbaan termasuk juara dunia 2018, Marc Marquez.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, pelumba kelahiran Itali itu berkata, mentaliti berubah-ubah yang ada pada pelumba lain memberikannya kelebihan untuk menjuarai perlumbaan itu.

"Saya tidak laju dalam perlumbaan ini, cumanya pelumba lain yang perlahan dalam perlumbaan sebenar berbanding sesi latihan. Saya tidak melakukan apa-apa perubahan besar untuk muncul juara.

"Mentaliti pelumba memberi kesan besar dalam sesi latihan dan perlumbaan sebenar. Di sesi latihan beberapa pelumba menggunakan tayar licin atau basah dan dapat memecut laju, tapi bila di aksi sebenar mereka tidak menggunakan pendekatan yang sama.

"Jadi, tidak semestinya bila anda tidak menjadi yang terpantas anda tidak mampu berada di podium. Semuanya bergantung pada pendekatan dan strategi yang mana ini menjadi kekuatan kami di sini," katanya.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan musim 2018 sebagai pencapaian terbaik sepanjang karier Dovizioso dengan mencatat sembilan kedudukan podium berbanding lapan musim lalu.

"Saya gembira untuk menamatkan musim 2018 dengan kejayaan ini. Saya gembira untuk menghadiahkannya kepada pasukan yang banyak bertungkus-lumus sepanjang musim," tambah Dovizioso.