VELIZAR Popov memberi gambaran awal, betapa dia langsung tidak berminat dengan persembahan tiga pemain dari Nigeria yang mencuba nasib dalam ujian pemilihan bersama skuad Liga Malaysia (Liga-M) Kelantan, ketika ini.

Pengendali Kelantan itu tampak kurang berpuas hati dengan sumbangan Jacob Olayemi Ogunleye dan Sani Shehu Emmanuel, walaupun dua pemain itu menjaringkan gol selain Noah Olawale Ojuola ketika pasukannya berpesta gol ke atas skuad Piala Presiden Kelantan dalam aksi persahabatan di Kota Bharu, malam kelmarin.

Menurutnya, dia memerlukan pemain import yang boleh membawa penambahbaikan dari segi serangan pasukannya sekali gus dapat mengubah keputusan perlawanan seperti penyerang Selangor, Patrick Ronaldinho Wleh dan Ashfaq Ali (Polis Diraja Malaysia).

“Saya perlukan pemain yang memiliki kriteria seperti itu. Pemain import seharusnya datang dengan reputasi lebih tinggi daripada pemain tempatan. Tidak ada guna saya ambil pemain asing yang sama taraf dengan tempatan.

“Saya hanya mencari pemain import yang bagus sahaja. Yang (tiga pemain Nigeria) ini bukan pemain berkualiti yang saya cari untuk pasukan ini,” katanya kepada pemberita malam kelmarin.

Dalam perlawanan itu, skuad Liga-M Kelantan menang 5-1 menerusi jaringan Ogunleye pada minit ke-21, Emmanuel (m-45), gol sendiri Mohd Syafiq Shapie (m-71), Blazhe Ilijoski (m-80) dan Abdul Manaf Mamat dalam masa kecederaan.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Bulgaria itu mengakui masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai kedudukan tiga pemain tersebut memandangkan mereka hanya sempat menjalani latihan sekali sebelum beraksi dalam perlawanan itu.

“Sukar untuk menilai prestasi mereka hanya dalam satu perlawanan. Saya akan beri lebih masa, mungkin seminggu untuk mereka berlatih dan mungkin juga kita akan mengatur satu lagi perlawanan sebelum saya buat keputusan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih berusia 40 tahun itu memberitahu, dia akan memanggil tiga pemain skuad Piala Presiden untuk menjalani latihan bersama pasukan senior setelah tertarik dengan persembahan mereka.

Tiga pemain berkenaan iaitu Mohd Danial Asyraf Abdullah, Mohd Syafiq Abd Rahman dan Mohd Nasharizam Abd Rashid berjaya mencuri perhatian bekas pengendali skuad kebangsaan Maldives itu dalam pertemuan tersebut.

“Saya lihat masa depan pasukan ini cukup cerah kerana mempunyai ramai pemain berkualiti. Seperti saya beritahu sebelum ini, umur bukan satu isu, jika mereka menunjukkan prestasi bagus, saya sedia beri peluang bermain dalam pasukan utama,” katanya.