PJ Rangers FC akhirnya meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan B, Piala FAM selepas menewaskan Marcerra United FC, 3-0 pada aksi di Stadium Air Asia MBPJ, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Selepas sekadar seri tanpa jaringan pada aksi pertama menentang Perlis FC sebelum tewas 2-3 kepada Terengganu City FC, skuad bimbingan Hassan Sazali Mohd Waras menjadikan Marcerra United FC sebagai mangsa kebangkitan mereka.

Aksi berbalas serangan yang dipamerkan kedua pasukan menghiasi 45 minit babak pertama tanpa sebarang jaringan dihasilkan.

Memasuki 10 minit separuh masa kedua perlawanan berlangsung, tuan rumah akhirnya berada didepan selepas Tommy Mawat Bada menjaringkan gol pertama menewaskan Mohd Mursyidin Maudoode yang sebelum ini berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya pada separuh masa pertama.

Selang 12 minit kemudian, bekas penyerang Selangor, A Thamil Arasu menggandakan kelebihan PJ Rangers selepas menjaringkan gol kedua sebelum ketua pasukan , Ronny Harun meledak gol ketiga pada minit ke 72.

Usaha berterusan pelawat untuk mendapatkan gol saguhati kian menjelma selepas dihadiahkan sepakan penalti namun pemain gantian, Nur Rizzham Norman gagal menyempurnakan sepakan tersebut pada masa kecederaan separuh masa kedua.