Mesir tamat badi penalti, mara ke pusingan 16

Mesir mara ke pusingan 16 selepas kalahkan Australia 4-2 di penentuan penalti. Foto: Agensi
Mesir mara ke pusingan 16 selepas kalahkan Australia 4-2 di penentuan penalti. Foto: Agensi
A
A
A

PENANTIAN panjang Mesir akhirnya berakhir apabila The Pharaohs mencipta sejarah dengan meraih kemenangan pertama dalam aksi kalah mati Piala Dunia selepas menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti di Stadium Dallas, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik.

Kejayaan bersejarah itu turut menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut Mesir dalam penentuan penalti, selain menyaksikan mereka kini menanti pemenang antara juara bertahan Argentina dan Cape Verde.

Mesir bermula garang apabila membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi tandukan Emam Ashour yang bijak menyambut hantaran lintang Karim Hafez di tiang jauh.

Australia cuba bangkit, namun gagal menghasilkan ancaman bermakna sepanjang babak pertama ketika Mesir menguasai permainan menerusi penguasaan bola dan hantaran yang lebih kemas.

Socceroos akhirnya menyamakan kedudukan pada babak kedua hasil gol sendiri Mohamed Hany yang tertampan masuk bola ketika cuba mengeluarkan hantaran daripada sepakan percuma Australia.

Gol itu menyuntik semangat Australia, namun Mesir kembali menguasai penghujung permainan dan hampir meraih kemenangan dalam masa sebenar.

Patrick Beach muncul wira sementara Socceroos apabila melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan tandukan Ramy Rabia, sebelum Harry Souttar menghalang percubaan Haisem Hassan bagi memastikan perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Dalam tempoh tambahan, kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan gagal mencipta peluang bersih, menyebabkan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Australia bermula dengan langkah kiri apabila Souttar gagal menyempurnakan sepakan pertama, sekali gus memberikan kelebihan awal kepada Mesir.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Salah kemudian mempamerkan ketenangan luar biasa apabila menyempurnakan sepakan gaya Panenka, mencerminkan keyakinan tinggi skuad Firaun dalam detik paling mendebarkan.

Harapan Australia terus pudar apabila pemain muda berusia 18 tahun, Lucas Herrington turut gagal menyempurnakan sepakannya, sebelum Hossam Abdelmaguid tenang menyudahkan penalti kemenangan untuk mengesahkan kemaraan Mesir ke pusingan 16 terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!