Kecederaan Ismael Saibari gusarkan Maghribi

KEGEMBIRAAN Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia dicemari kebimbangan apabila penjaring terbanyak mereka, Ismael Saibari mengalami kecederaan ketika kemenangan 3-0 ke atas Kanada di Houston.
Saibari terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-22 selepas mengalami kecederaan ketika melancarkan serangan, sebelum memberi isyarat kepada bangku simpanan bahawa beliau tidak mampu meneruskan permainan.
Laporan awal menyebut Saibari dipercayai mengalami kecederaan hamstring di bahagian belakang paha kanan, namun tahap kecederaan sebenar hanya akan diketahui selepas menjalani pemeriksaan lanjut.
Sebagai langkah berjaga-jaga, jurulatih Mohamed Ouahbi memasukkan Soufiane Rahimi bagi mengelakkan kecederaan pemain berusia 25 tahun itu bertambah serius.
Saibari yang meledak tiga gol pada kejohanan ini dan baru melengkapkan perpindahan ke Bayern Munich daripada PSV Eindhoven, kini diragui sempat pulih menjelang aksi suku akhir.
Pemain itu pernah diketepikan selama kira-kira sebulan akibat kecederaan otot ketika bersama PSV awal tahun ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan kecederaan kali ini mungkin memerlukan tempoh pemulihan yang lebih panjang.
Sekiranya disahkan tidak dapat beraksi, kehilangan Saibari pasti menjadi tamparan besar buat Maghribi yang sedang memburu penampilan kedua berturut-turut di separuh akhir Piala Dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

