MOHD Badhri Radzi menamatkan spekulasi berhubung masa depannya bersama The Red Warriors (TRW) apabila kekal menyarung jersi pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan kapten berusia 35 tahun itu sudah menyambung kontrak semusim lagi bersama TRW, hari ini.

“Alhamdulillah Piya (Mohd Badhri) telah mencapai persetujuan untuk terus bersama Kelantan dengan menandatangani kontrak selama setahun sebelum dia berlepas ke Jepun esok.

“Sekalipun Piya sudah agak berusia namun saya yakin itu bukan halangan buat dia buktikan masih berada pada prestasi terbaik untuk membina semula pasukan Kelantan menjadi lebih kuat, pada musim depan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.  

Sebelum ini, kedudukan jeneral padang itu bersama dua lagi pemain ‘otai, Mohd Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin cetus tanda-tanya setelah rundingan mereka bersama Kafa tidak dapat dimuktamadkan.

Bibi Ramjani berkata,, Mohd Badhri menunjukkan kesetiaan tinggi untuk kekal bersama skuad pantai timur dan berharap kehadiran tonggak berpengalaman itu dapat membantu membimbing pemain muda pasukan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Badhri berkata, keputusannya menolak dua tawaran pasukan elit Liga Super dibuat semata-mata kerana mahu terus berbakti bersama Kelantan.

Menurutnya, kepercayaan diberikan Presiden Kafa merupakan penghormatan besar dan dia seboleh-bolehnya mahu mengakhiri kerjaya bersama pasukan negeri kelahirannya itu.

“Sejak tahun 2010 hingga tahun ini, saya terima banyak tawaran daripada pasukan lain tetapi kesetiaan bersama Kelantan tidak pernah padam kerana saya anak jati negeri ini.

“Walaupun ramai melabelkan saya kuda tua, pemain veteran namun saya tidak terkesan dengan panggilan itu. Jangan nilai saya dari segi umur, itu hanyalah angka dan tak semestinya pemain muda bagus daripada pemain tua,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya Liga-M 2018 adalah musim terbaik bagi Kelantan untuk kembali bangkit memberi saingan kepada beberapa pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor dan Kedah.