PERLIS selaku penganjur Sukan Malaysia (Sukma) XVII sudah bersiap bersedia untuk menerima kedatangan kira-kira 4,000 atlet dan pegawai bagi kejohanan Paralimpik bermula 19 Ogos hingga 26 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan Negeri, Mohd Jamil Saad berkata penganjurannya dijangka lancar kerana sudah tersedia venue dan kemudahan yang digunakan pada Sukma lalu.

Beliau memberitahu Bernama sembilan jenis sukan yang melibatkan 20 acara akan diadakan antaranya badminton, angkat berat, renang, tenis, lawn bowl, bola keranjang dan olahraga.   

Katanya asrama pelajar Universiti Teknoloji Mara Arau dan Universiti Malaysia Perlis di Pauh Putra akan dijadikan pusat penginapan atlet dan pegawai.

Mengenai persiapan atlet Perlis, Mohd Jamil berkata kira-kira 100 atlet paralimpik Perlis menjalani latihan bersama atlet Sukma sejak awal tahun.    

Beliau berkata Perlis menyasar tujuh pingat emas terutama menerusi acara olahraga dan lawn bowl. - Bernama